Lapan MT PN bantah penyertaan Wawasan, Pejuang

Lapan MT PN bantah penyertaan Wawasan, Pejuang

PN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyertai Perikatan Nasional (PN) gagal mendapat keputusan sebulat suara pemimpin gabungan berkenaan.

Menurut sumber, seramai 11 anggota Majlis Tertinggi (MT) PN menyokong manakala lapan lagi menolak dalam mesyuarat yang berlangsung kelmarin.

Keputusan itu menunjukkan penyertaan Wawasan dan Pejuang yang mempunyai kaitan dengan bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya diluluskan menerusi majoriti mudah dan bukannya secara konsensus.

Perkembangan itu turut mencerminkan wujudnya perbezaan pandangan dalam kalangan pimpinan PN berhubung usaha memperluaskan keanggotaan gabungan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Menurut seorang pemimpin kanan PN, kelompok yang menolak cadangan itu terdiri daripada pemimpin Bersatu, manakala menyokongnya pula datang daripada wakil Pas.

Katanya, antara faktor menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin PN ialah status Wawasan yang masih belum memperoleh kelulusan rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selepas penjenamaannya semula daripada Parti Cinta Malaysia (PCM).

“Perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat sebelum keputusan dibuat melalui undian. Bagaimanapun setelah undian dibuat, 11 anggota MT menyokong manakala lapan lagi menolak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, gabungan itu menerima dua parti politik baharu sebagai parti anggota PN iaitu Wawasan dan Pejuang dalam Mesyuarat MT diadakan di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur.

Wawasan dan Pejuang masing-masing yang diterajui oleh dua bekas Timbalan Presiden Bersatu iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Hamzah mengambil alih Wawasan daripada PCM setelah dipecat pada awal tahun ini, manakala Mukhriz pula menubuhkan Pejuang pada 2021.

Sementara itu, sumber turut mendedahkan mesyuarat MT itu menolak cadangan agar PN tidak bertanding dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.

“Jadi saya percaya mengapa PN ada mengeluarkan dua kenyataan berbeza berkaitan pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, sumber berkata, status Bersatu dalam PN serta penggunaan logo gabungan itu pada PRN Johor dan Negeri Sembilan tidak diputuskan dalam mesyuarat malam kelmarin. 

“Mesyuarat PN hanya menyentuh dua perkara iaitu permohonan kemasukan PN dan persiapan PRN Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Sebelum ini, tular satu kenyataan yang kononnya dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kononnya PN tidak bertanding dalam kedua-dua PRN dan penggunaan lambang serta bendera tidak dibenarkan sama sekali.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×