PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan sentiasa memberi komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab memperkasa usahawan tempatan secara berterusan tanpa dipengaruhi faktor politik atau musim pilihan raya.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, agenda pembangunan usahawan kekal menjadi keutamaan kementerian dalam memastikan ekosistem perniagaan negara terus berkembang dan berdaya saing.
“Misi KUSKOP adalah untuk memperkasakan perniagaan Malaysia terutama menerusi pelaksanaan program pembangunan seperti Program PowerUp 10K.
“Sama ada dalam keadaan pilihan raya atau musim apa sekali pun, kita tetap melaksanakan tugas dan KUSKOP akan memastikan Program PowerUp 10K ini dapat membantu usahawan.
“Selagi kami diberi amanah, KUSKOP akan terus menyokong dan membantu usahawan serta syarikat tempatan untuk berkembang,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran minuman teh sedia diminum (RTD) antara Tealive dan Dutch Lady di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn. Bhd., Bryan Loo dan Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Veronika Utami.
Mengulas lanjut, Steven berkata, kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 usahawan Malaysia diperkasa bagi meningkatkan kapasiti serta mengembangkan perniagaan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau berkata, usahawan tempatan perlu beralih daripada pendekatan ekonomi berasaskan ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’ bagi memperkukuh daya saing syarikat tempatan dalam rantaian nilai global.
“Kerjasama antara jenama tempatan dan syarikat multinasional seperti kolaborasi antara Tealive dan Dutch Lady adalah contoh terbaik ke arah membina ekosistem ‘Made by Malaysia’.
“Kerjasama ini menggabungkan kekuatan jenama tempatan dengan kepakaran syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia.
“Inilah model yang kita mahu lihat berkembang pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










