Kurang fasih dalam bahasa tidak halang Yuan Teng untuk berkecimpung dalam drama dan filem Melayu - Utusan Malaysia

Kurang fasih dalam bahasa tidak halang Yuan Teng untuk berkecimpung dalam drama dan filem Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon berbangsa Cina, Yuan Teng menyatakan hasratnya untuk bersedia menggalaskan watak dalam drama atau filem Melayu sekiranya diberikan peluang walaupun dia tidak begitu fasih dalam berbahasa Melayu.

Wng Yuan Teng, 32, berkata, kekurangan tersebut bukan satu masalah besar kerana dia percaya persediaan skrip yang baik dapat membantunya menjayakan sesuatu watak dengan lancar.

Anak jati Kuala Lumpur ini juga tidak menolak untuk mengikut jejak langkah pelakon Alvin Chong yang sebelum ini berjaya membina nama dalam pasaran drama serta filem Melayu.

“Saya tidak pandai bercakap Melayu sangat, tapi kalau ada skrip, bolehlah saya buat. Saya memang akan terima dan cuba kalau ada peluang untuk berlakon dalam drama atau filem Melayu nanti.

“Lagipun sekarang ramai pelakon bangsa Cina yang berlakon dalam cerita Melayu. Jadi, mungkin saya boleh jadi Alvin Chong yang seterusnya,” katanya.

Yuan Teng berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Festival Filem Pertukaran Malaysia-China Ke-3 di ibu kota, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Yuan Teng yang berpengalaman bekerjasama dengan produksi dari China ini mengakui tiada perbezaan besar antara cara kerja di China dengan di Malaysia.

“Bagi saya tiada perbezaan pun sebab dari segi bahasa dan budaya tidak jauh beza. Malaysia ada pelbagai bahasa termasuk Cina, jadi untuk kerjasama dengan produksi di China itu agak mudahlah. Malah bahasa pun agak sama, jadi urusan lakonan itu memang berjalan lancar,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, filem Kungfu Juniors lakonan Yuan Teng dipilih sebagai filem pembukaan bagi mewakili Malaysia di Festival Filem Pertukaran Malaysia-China Ke-3.

Penganjuran festival tersebut bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan kedua-dua negara menerusi perkongsian karya filem yang berkualiti.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN