KUALA LUMPUR: Malaysia Music Rights Alliance (MMRA) menggesa penggubal undang-undang agar mengetatkan undang-undang Hak Cipta di bawah Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332).
MMRA dalam kenyataan berkata ia bagi memastikan pembangunan pelbagai model Kecerdasan Buatan (AI) tidak mengeksploitasi muzik berhak cipta dan karya kreatif lain tanpa persetujuan pemegang hak cipta yang berkenaan.
“Memandangkan teknologi AI terus berkembang pesat, pemain industri muzik Malaysia percaya perlindungan undang-undang yang lebih kukuh diperlukan untuk melindungi penulis lagu, penyanyi, pemuzik, penerbit rakaman audio atau video dan pemegang hak cipta.
“MMRA semakin bimbang dengan penyalahgunaan AI terhadap kandungan berhak cipta, khususnya penggunaan muzik berhak cipta serta harta intelek yang lain tanpa kebenaran pemilik hak cipta dalam latihan model AI berkenaan.
“Justeru, MMRA telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Menteri Digital, Menteri Komunikasi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup, Pengawal Hak Cipta (Ketua Pengarah MyIPO) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Kecerdasan Buatan Negara (NAIO) untuk menggariskan kebimbangan mengenai trajektori semasa tadbir urus AI dan keperluan perlindungan undang-undang yang kuat untuk karya muzik dan rakaman bunyi,” katanya dalam kenyataan.
MMRA turut mengalu-alukan pembahasan tentang isu
muzik janaan-AI di parlimen baru-baru ini.
“Kami menyokong hasrat penggubal perundangan untuk menangani isu ini dan menawarkan kepakaran kami untuk memberi input khusus industri muzik kepada ahli Parlimen dan Kerajaan Malaysia,” katanya lagi.
MMRA juga membantah sebarang cadangan yang membenarkan AI melombong karya berhak cipta tanpa kebenaran atau pampasan kepada pencipta.
“Ini termasuk cadangan untuk pengecualian Perlombongan Teks dan Data (TDM) dalam Akta Hak Cipta 1987 atau mana-mana
perundangan yang berkaitan.
“Persetujuan pemegang hak cipta adalah penting dan mesti menjadi asas bagi sebarang penggunaan kandungan berhak cipta oleh pembangun AI.
“Kami berpendapat bahawa tiada bahan berhak cipta yang boleh digunakan untuk melatih atau membangunkan sistem AI tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada pencipta dan pemilik hak cipta,” ujarnya.
Selain mendapat kebenaran pemegang hak cipta, MMRA menyeru ketelusan dan akauntabiliti yang lebih kukuh dalam data pembangunan AI.
“Pembangun AI diwajibkan untuk menyimpan rekod lengkap bahan berhak cipta yang digunakan dalam set data latihan, membolehkan pemilik hak cipta mengesahkan penggunaan dan menguatkuasakan hak mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu MMRA juga menuntut pampasan yang adil kepada para pencipta.
“Ini bukan sahaja mengancam menyokong pelabelan mandatori kandungan yang dihasilkan oleh AI. Orang ramai berhak untuk mengetahui sama ada muzik atau kandungan yang mereka gunakan adalah hasil seni manusia atau kod yang dihasilkan oleh mesin.
“Piawaian penanda air (watermarking) dan pelabelan yang jelas adalah penting untuk mengelakkan kekeliruan antara karya buatan manusia dan yang dihasilkan oleh mesin serta untuk mengurangkan peningkatan ‘deepfake’ dan kandungan yang dihasilkan oleh AI yang tidak dibenarkan,” ujarnya.










