KPT perlu jawab dengan data, bukan ugutan - Haim Hilman

KPT perlu jawab dengan data, bukan ugutan – Haim Hilman

HAIM HILMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Exco Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah tidak akan menarik balik pendiriannya berhubung isu kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) melalui saluran selain Unit Pusat Universiti (UPU), walaupun Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mempertimbang tindakan undang-undang terhadapnya.  

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra yang juga AJK Pas Pusat itu berkata, perkara yang dibangkitkan bukan serangan terhadap UA, sebaliknya menyentuh soal keadilan, ketelusan dan akses pendidikan tinggi yang adil kepada masyarakat, khususnya golongan B40 dan M40.  

Beliau berkata, KPT perlu menjelaskan secara terbuka jumlah sebenar pelajar tempatan yang memasuki UA melalui saluran selain UPU setiap tahun, termasuk bilangan tempat yang ditawarkan dalam program kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, farmasi dan perakaunan.  

“Rakyat berhak mengetahui berapa ramai pelajar yang gagal mendapat tempat melalui UPU tetapi berjaya memasuki UA menerusi saluran terbuka dengan bayaran yuran penuh. Jika KPT memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, saya bersedia menjawabnya dengan data, fakta dan bukti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, KPT sedang meneliti tindakan serta prosedur perundangan sewajarnya terhadap Haim Hilman mengenai sistem kemasukan ke UA, susulan ucapannya yang disiarkan melalui Facebook sempena ‘Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan’ pada 13 Jun lalu.

Haim Hilman berkata, isu itu bukan lagi sekadar persepsi apabila Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam Malaysia (JKNCR UA) sebelum ini memaklumkan kemasukan melalui saluran terbuka melibatkan kira-kira 11,860 pelajar setahun atau hampir 40,000 pelajar bagi satu kitaran pengajian empat tahun.  

Beliau turut mempersoalkan kewujudan saluran berkenaan ketika lebih 30,000 pemohon UPU bagi kemasukan ijazah sarjana muda pada tahun 2025 tidak menerima tawaran walaupun layak bersaing berdasarkan merit.  

Selain itu, masalah kekurangan kolej kediaman dan asrama di UA turut disentuh yang menyebabkan ramai mahasiswa terpaksa menyewa kediaman di luar kampus dengan kos yang semakin tinggi serta berdepan pelbagai risiko keselamatan dan sosial.  

Menurutnya, kehidupan dalam kampus bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, malah memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan, disiplin, pembentukan sahsiah dan suasana pembelajaran yang kondusif.  

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan cadangan pengurangan bajet KPT sebanyak RM2.39 bilion ketika pelbagai isu asas pendidikan tinggi seperti kebajikan pelajar, kapasiti program pengajian dan kemudahan asrama masih belum diselesaikan sepenuhnya.  

“Saya turut bangkitkan nasib anak-anak miskin yang menerima surat tawaran ke UA tetapi dimaklumkan bahawa bayaran yuran pendaftaran perlu dijelaskan sebelum mendaftar masuk.  Jumlahnya bukan kecil bagi keluarga miskin, di sesetengah IPTA boleh cecah ratusan hingga ribuan ringgit,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya semua UA menyatakan secara jelas dalam surat tawaran bahawa pelajar yang tidak mampu membayar yuran pendaftaran masih boleh mendaftar dan pembayaran boleh dibuat selepas memperoleh pinjaman pendidikan, biasiswa atau bantuan kewangan.  

Tambahnya, KPT juga wajar menjelaskan mengapa masih terdapat sistem pendaftaran dalam talian yang mensyaratkan bayaran dibuat terlebih dahulu sebelum proses pendaftaran dapat diteruskan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN