Hasrat membantu keluarga dengan kerjaya berpendapatan tetap, gagal. Dengan harapan digantungkan ke bahunya untuk membantu tiga lagi adiknya yang masih belajar, dia rasa amat terbeban. Tetapi itu bukan punca utama dia terlibat dengan kes kriminal tersebut.
Selama ini, memang rekodnya sedia tercela dengan masalah disiplin dan kes kecurian barang rakan sekelas. Selepas masuk ke kolej kemahiran, perangai itu mulanya beransur kurang. Namun ada sesuatu yang seakan mendorongnya.
Rentetan peristiwa tersebut menyebabkannya terperangkap dalam dilema split personality yang kronik. Di sisi keluarga, Airil mendapat apresiasi kerana kebertanggungjawabannya terhadap adik-adik. Namun di mata umum, dia mendapat kejian kerana sikap suka sakau dan pau duit sahabat.
Petang itu suasana kecoh dalam kesibukan orang ramai membeli-belah di sebuah gedung pakaian. Seorang pengawal keselamatan dengan bantuan pengunjung, berjaya memberkasnya yang sedang cuba membawa lari set pakaian.
Polis tiba, dan bermulalah perjalanan hidupnya sebagai OKT (Orang Kena Tahan). Benar kata orang, kalau sudah jadi kes polis, panjang ceritanya. Meratap tangislah emak dan bapanya memohon suaka dan simpati di rumah pasung, namun integriti mendaulatkan undang-undang menjadi piagam yang tiada kompromi.
Usai perbicaraan, sabitlah hukuman. Dia naik status setakah lagi, dari tahanan kepada banduan. Semacam tidak sepadan mencuri yang beberapa sen cuma, menyebabkannya meringkuk di sel empat segi selama dua tahun. Huh!
Hilanglah sudah kerja buat baiknya membantu keluarga. Memerap sepat pekasam dan menyalai ikan kering juga rutinnya. Belum lagi menjaga adik keduanya yang berstatus OKU – terpaksa selalu kena layan. Mandi dan basuh tinja memang dia yang lakukan.
Orang kampung juga tahu bagaimana dia selalu membanting tulang di permatang. Membantu Lebai Mail dan jiran membajak, menyemai, menjaga dan menuai hasil untuk mereka.
Segalanya bertukar apabila tembelang Airil terbongkar. Persepsi murni yang dilabelkan kepadanya, sepantas kilat bertukar. Seakan tidak masuk akal, budak yang baik seperti itu, rupanya mempunyai perangai buruk di luar kawalan.
Dia sendiri tidak faham, mengapa ada ketika naluri hendak mencuri meluap-luap di jiwanya.
Sah akhirnya dia didakwa di bawah seksyen 380, kesalahan mencuri yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun. Curi seluar dalam saja pun!
Saya harap, awak dapat membina hidup baharu di luar sana,” ujar pegawai penjara yang mengiringinya ke luar pintu gapura pusat koreksional. Ucapan klise yang membasahi artikulasi pegawai keselamatan setia.
Langkah mulai diayun longlai, tanpa tujuan ke mana akan dituju. Tiada emak dan ayah yang sebelumnya selalu menemani. Tiada siapa menyambutnya.
Entah mengapa hatinya tidak seriang seperti yang sepatutnya diharapkan oleh banduan apabila dilepaskan. Macam-macam pula yang terfikir di benaknya. Pernah terdengar ustaz di kuliah menyatakan ujian sebenar adalah di luar sana. Kita mungkin terpenjara di sini, namun terkawal. Kita tidak tahu apa pula makna kebebasan di sana.
Lewat dua bulan mutakhir, dia tiada mendapat perkhabaran baru daripada keluarga. Sebelumnya ada juga dikirimkan salam atau penganan melalui seseorang. Adakah kehadirannya sudah tidak lagi diraikan seperti dahulu?
Dia menebak kecewa. Pandangannya polos. Hidup dirasakan semakin kosong. Walaupun beban membawa pulang muka yang tebal tidak dapat dielakkan, namun ke mana lagi langkah mahu menuju haluan jika tidak ke dangau itu.
Selepas membayar harga grab, dia membiarkan hala ditentukan kedua kaki. Terasa berjalan di atas awangan tidak jejak ke bumi. Ada juga dia berselisih dengan anak-anak muda keluar ke bandar yang menegur dengan kening mata.
Tiba-tiba berhenti sebuah kapcai dan berpatah balik ke arahnya setelah terlepas beberapa meter. Si penunggang menongkat motosikalnya dengan kaki. Terselak kain batik yang dipakai, menampakkan betis bunting padinya.
“Airil? Kau dah balik?” Segugus soal yang tidak dapat ditafsir, teruja atau menyindir? Dia amati empunya suara.
“Kau tak kenal aku lagi ke?” Pemilik suara wanita meninggi. Airil mencuri pandang dalam curiga. Berbalam jawapan di rona wajahnya.
“Sha? Sharifah?” Nyata belum tumpul ingatannya. Decitan pipit aji dan pegar mengisi panorama dengan melodi riang. Kebanyakan sawah pembekal ruji rakyat kelihatan agak suram, malah ada petak yang telah semak dihuni lalang.
“Kenal lagi pun kau? Selamat kembali ke kampung halaman,” sambung gadis yang dikenalkan sebagai Sha itu. Airil tunduk membisu. Bercempera fikiran berlegar di minda. Reaksi Sha seakan sindiran padanya, sementelah lagi dia memang hafal sejarah hidup Airil.
“Tak apalah, aku nak ke baruh kejap. Nanti aku datang ke rumah kau. Nak ziarah lebai juga,” terus sahaja Sha memulas throttle kapcai dan memecut meninggalkan Airil.
Dia teruja untuk memberi respons tetapi Sha lenyap dari sekitaran. Laju benar anak dara kampung bila naik kapcai. Kalah lelaki. Kata-kata Sha itu meninggalkan soal pula kepadanya.
Lenguh juga dia membetis. Sesampainya di rumah, fahamlah dia mengapa tiada bingkisan dan khabar dari keluarga. Mengertilah dia mengapa Sha mahu menziarahi ayahnya.
“Alhamdulillah, kau telah bebas. Maafkan kami tidak dapat menjemput Ril,” si ibu memintal sesal. Airil memeluk ibunya penuh kasih melerai rindu. Kemudian mengucup dahi ayah dan menciumi pipi yang kian cengkung.
“Sudah berapa lama ayah terlantar begini, mak. Kenapa tak beritahu Ril?” Wajah sayu memayungi rona muka. Wajah ibu tunduk sayu.
“Macam mana emak nak tinggalkan adik kau. Hendak ke sana pun emak tak ada kemampuan,” jelas si ibu merawan duka. Airil sedia faham situasi keluarganya.
Lebih sebulan Lebai Mail tidak dapat bergerak bebas. Bengkak di betisnya kian hari makin membusung.
Jangkitan kuman dikatakan berpunca daripada sengatan sembilang yang ditangkap di muara. Entah macam mana ikan itu melenting dan menusukkan durinya.
Kelihatan bekas berisi hirisan limau kasturi dan asam jawa yang ibu gunakan merawat luka ayah secara.
Sayunya hati melihat rimbunan padi yang baharu menghijau hampir layu kekeringan. Musim kemarau yang melanda dua tiga bulan ini benar-benar menjadi ujian kepada petani kecil seperti penduduk desa.
Sawah tiada siapa menguruskannya ditambah pula dengan ujian luka di kaki Lebai Mail. Hanya sesekali mendambakan jiran sebelah untuk melihat-lihat. Itu pun mungkin terkenangkan jasa dan bantuan Airil kepada mereka dahulu.
Airil mengambil prakarsa segera. Biarlah dia benamkan sahaja niat untuk membantu keluarga mencari kerja di luar berpendapatan tetap. Biarlah dia terus bermakam di desa kelahiran ini.
Walaupun pandangan sinis orang keliling masih membayanginya. Biar bisik-bisik, gosip dan soksek-soksek mereka di belakang masih kedengaran di telinga, Airil pekakkan sahaja. Benar kata-kata ustaz di penjara dahulu. Kini dia berdepan cabaran sebenar di luar sel.
Bersama beberapa pesawah tradisional yang kebanyakan telah berusia, Airil membentuk kerjasama. Mereka yang sebelum ini memang banyak menerima sentuhan tangan Airil, masih yakin dengan sisi positifnya. Pun demikian tetap curiga dan waspada menyimpan barang berharga.
Awalnya ada juga suara-suara sumbang kedengaran, namun apabila telah menampakkan hasil, dengan sendirinya suara itu lenyap. Bahkan bilangan petani desa yang menyertai projek tersebut juga kian bertambah.
“Tahniah, Airil! Semakin nampak hasil usaha kau selama ini,” suatu petang Sha datang menziarahi keluarganya.
Tidak sangka pula, Sha – gadis ala tomboi yang selalu hingak, masih sudi mendekatinya. Dialah membantu keluarganya sepanjang Lebai Mail sakit dan ketiadaan Airil. Membelikan ubat dan sesekali membawanya ke klinik.
“Maafkan aku, atas kesilapan lalu Sha,” Airil menuntut apologia, menyorot kisah silam ketika dia mencuri duit Sha. Hidup ini memang aneh. Ada orang yang saling membenci kerana disakiti. Ada pula orang yang disayangi biar telah dilukai.
Kesalahan kerana tabiat suka mencuri sejak kecil, telah menyebabkannya diberikan tanda niaga banduan. Namun di mata orang yang mengenalinya, masih ada belas simpati.
“Ish, dahlah, semua kisah lama. Aku ada bawakan lauk untuk lebai ini. Biar aku masuk dulu, ya,” Sha mohon diri.
Sebenarnya selain pesawah, Lebai Mail juga menjadi guru mengaji kepada Sha dan anak-anak desa pesawah di situ. Jadi rasa hormat Sha memang bertempat.
Sekonyong-konyong, terpandang akan Airil tas tangan Sha yang tertinggal ketika berganjak ke dalam tadi. Spontan, aura negatif menjalar di nubarinya. Airil menggigil. Antara dorongan id yang memenuhi nafsunya dan rasa insaf yang bertahan lewat hukuman yang diterima, berperang hebat.
“Ya, Allah!” Airil berpeluh. Tas tangan agak mewah itu seakan memanggil kembali aura jahatnya. Masih mampukah dia bertahan mengatasi simptom emosi yang sekian lama membelenggu personalitinya itu?
Muka Airil pucat dan sesekali merah saking melawan dendam. Bercampur juga dengan asertif diri dan janji yang terpateri. Dia mengerahkan ego menahan serangan talbis id. Airil menggeletar.
Semakin pula dompet itu seakan menggamitnya. Perlahan-lahan tangan Airil mula merayap hampir ke arah tas tangan itu.
Sha galau. Menerpa masuk ke dalam rumah Lebai Mail. Keluar semula ke beranda. Wajahnya berbalas resah dan gundah. Bulir mata Lebai Mail turut melilau ke sana ke mari mengekori pergerakan Sha. Sudah jadi bebas macam rumah sendiri pula hari itu.
“Tak jumpa ke Sha?” Mak Embun yang baru naik dari dapur turut menggelabah Sha hanya mampu geleng.
Resahnya bertambah kerana di dalam tas itu ada segenggam barang kemas amanah ibunya. Cadang hendak dicagar sementara di ar-Rahnu.Pasti ibunya akan kecewa jika tahu apa yang berlaku. Mak Embun menumpang risau.
“Sha, ini beg awak.” Tiba-tiba suara Airil memecah kebuntuan sembari menghulurkan barang yang dicari-cari Sha. Buntang matanya. Segera pula menyambutnya dengan sedikit waham.
Seketika dia membelek-belek kandungan beg tersebut. Mak Embun berkongsi jenguk menumpang keresahan. Macam-macam pula yang bermain di mindanya. Sebentar, Sha merafak syukur dan senyum memagari wajah.
“Terima kasih, Ril aku terlupa tadi. Loghat nak bagi Lebai Mail makan sup.” Pandangan cukup difahami Airil. Dia berusaha untuk tidak mengulangi kesilapannya.
“Aku berjaya melawan id dengan superegoku,” Airil ingat balik apa yang kaunselor di pusat koreksional titipkan padanya. Id adalah nafsu jahat yang selalu mengganggu mental manusia.
Superego pula bisikan hati suci yang mampu merangsang ego membina halangan melawan id. Dia hadam teori yang dipelopori psikologis, Sigmund Freud.
Airil tahu, ciri personalitinya yang sering terdorong untuk mencuri barang yang dia minat merupakan ciri delinkuen peribadinya. Mengikut para terapis, personaliti boleh diubah. Anda mampu melakukannya! Dia memahat kata-kata motivasi membentuk benteng intrinsik diri.
Selama di pusat koreksional itu, dia bukan sahaja mendapat tambahan ilmu agama, bahkan psikologi. Sesi kaunseling yang dijalaninya membantu pembentukan semula sahsiah diri. Dia belajar dari kosong membentuk jati diri dan ketahanan jiwa.
“Aku faham Ril. Mulai hari ini, aku akan pastikan kau bebas daripada belenggu itu.” Semacam membaca apa yang sedang Airil monologkan.
Airil terpelongo. Mindanya gagal membuat interpretasi.
“Kau telah mencuri sesuatu yang selama ini aku benar-benar jaga.” Kata-kata wanita yang pernah tersakiti, memaksanya melarut lumat-lumat. Kesenjangan menguasai ruang.
“Aku tak faham…” Airil mengaku gagal menganalisis persepsi. Sha pula tidak memberi jawapan gratis. Kicau mergastua sama lunak dengan siulan seruling anak tani di permatang. Masih ada lagi yang mahir meniupnya.
“Kau telah mencuri hatiku yang satu ini.”
Pertama kali Airil mendengar suara feminin Sha. Suara halus, namun bak ledakan rudal menghentam tubir kaget Airil! – UTUSAN









