Kini ‘ombak’ itu bukan semua PN punya - UMNO Kedah

Kini ‘ombak’ itu bukan semua PN punya – UMNO Kedah

MAHDZIR Khalid ketika ditemui pada sidang akhbar program Durian Fest @ Prospek Pedu 4.0 2026 di Bukit Langsat, Kampung Padang Setol, Pedu, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: UMNO Kedah mengakui gelombang sokongan yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sememangnya memihak kepada Perikatan Nasional (PN) terutama di negeri ini.

Namun ujar Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, landskap politik negara sentiasa berubah dan sokongan rakyat tidak boleh dianggap kekal selama-lamanya.

“Pada waktu itu, memang ‘wave’ itu dia punya. Tahun 2022 saya akui ombak itu dia punya. UMNO ketika itu kehilangan banyak sokongan dan rakyat memberi sokongan kepada mereka tapi selepas tiga tahun setengah, bukan semua ombak itu masih dia punya.

“Saya ingat dia pun tahu di mana (kedudukan) mereka dan dia tahu jugalah di mana kita, jadi dalam konteks politik tak boleh sebut dalam perjalanan hidup itu seperti hari-hari kita punya,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berkata demikian pada sidang akhbar program Durian Fest @ Prospek Pedu 4.0 2026 di Bukit Langsat, Kampung Padang Setol, Pedu, hari ini.

Jumaat lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Pas bersama PN menyasarkan kemenangan kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada pilihan raya akan datang selepas kini menyandang 33 daripadanya.

Menurut Muhammad Sanusi, Pas akan memimpin kemenangan lebih besar di negeri berkenaan termasuk menyapu bersih kesemua 15 kerusi Parlimen, berbanding 14 kerusi ketika ini.

Sementara itu, kenyataan kontroversi yang sering dikeluarkan Muhammad Sanusi bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada karakter beliau sejak mula memegang jawatan itu.

Mahdzir berkata, masyarakat khususnya rakyat Kedah sudah lama mengenali gaya percakapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri yang disifatkan sebagai lantang dan kadang-kala bersifat sinis terhadap pihak lain.

“Menteri Besar ini memang mulut dia macam itu. Saya ingat dari mula jadi Menteri Besar sampai sekarang, cara dia bercakap tidak banyak berubah. Dia berkawan dengan orang pun begitu, tidak berkawan dengan orang pun begitu.

“Orang Kedah kata mulut hebiaq (celupar). Kalau mengata memang sedap mulut dia, tetapi pada saya kadang-kadang ada lapiknya dia bercakap dan kadang-kadang dia bantai cakap ikut suka dia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN