KUALA LUMPUR: Tahap kesiapsiagaan rakyat dalam menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi faktor utama yang menentukan kejayaan Malaysia muncul sebagai negara berteraskan AI.
Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar berkata, kebanyakan negara yang sedang bergerak ke arah ekonomi berasaskan AI mempunyai akses kepada model AI, infrastruktur awan dan teknologi yang hampir sama.
Menurutnya, faktor yang membezakan negara yang benar-benar berjaya melakukan transformasi bukanlah teknologi yang dimiliki, sebaliknya keupayaan rakyat memanfaatkan teknologi tersebut secara produktif dalam pekerjaan, perniagaan dan kehidupan harian.
“Kejayaan sesebuah negara dalam era AI bukan ditentukan oleh teknologi yang dimiliki, tetapi keupayaan rakyat menggunakan teknologi itu secara produktif,” katanya ketika merasmikan pelancaran gerakan nasional I’M AI READY sempena ulang tahun ke-25 PEOPLElogy Berhad.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah menyatakan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara AI yang inklusif dan mampan, selain hab utama teknologi digital serta produk dan perkhidmatan buatan Malaysia.
Katanya, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa peluang generasi baharu yang dibawa oleh AI berada di hadapan negara dan tidak boleh disia-siakan.
“Peluang sebesar ini tidak datang dengan jaminan kejayaan. Ia hanya dapat direbut oleh negara yang membuat persediaan secara sengaja dan terancang.
“Persediaan itu adalah soal manusia sebelum soal teknologi. Dengan kata lain, AI tidak mengubah negara dengan sendirinya. Manusialah yang tahu menggunakan AI yang akan melakukannya,” katanya.
Fabian berkata, infrastruktur dan modal merupakan elemen penting dalam pembangunan negara berteraskan AI, namun faktor penentu sebenar ialah rakyat yang bersedia, yakin dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan.
Menurutnya, pembangunan bakat bukan sekadar komponen sampingan dalam strategi AI negara, sebaliknya menjadi tunjang utama yang menyokong keseluruhan agenda tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Digital diamanahkan untuk menyelaras sebahagian besar usaha pembangunan ekosistem AI negara menerusi Agenda AI Nasional, inisiatif MyDIGITAL serta aspirasi digital dan pembangunan tenaga kerja yang digariskan dalam RMK13.
Katanya, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur digital, peluasan penggunaan AI secara bertanggungjawab serta memastikan manfaat teknologi itu dinikmati secara meluas.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak boleh membina masa depan negara secara bersendirian.
“Kami boleh menetapkan hala tuju, mewujudkan dasar dan menyediakan persekitaran yang menggalakkan pelaburan.
“Tetapi kami tidak boleh melatih jutaan pekerja, mereka bentuk semula ribuan kurikulum atau memupuk budaya pembelajaran berterusan yang diperlukan dalam ekonomi AI yang sentiasa berubah.
“Sebab itulah saya melihat kerjasama awam-swasta bukan sekadar ungkapan biasa dalam ucapan, tetapi satu keperluan struktur yang penting,” katanya. – UTUSAN










