Keselamatan negara jangan jadi alasan diskriminasi pelarian - Utusan Malaysia

Keselamatan negara jangan jadi alasan diskriminasi pelarian

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebimbangan terhadap keselamatan negara, peluang pekerjaan dan keharmonian sosial tidak boleh dijadikan alasan untuk menormalisasikan kebencian serta diskriminasi terhadap pelarian dan pencari suaka.

Himpunan Gerakan Islam Malaysia (Hikam) berkata, kebimbangan sebahagian rakyat mengenai isu pelarian adalah munasabah dan perlu ditangani secara serius melalui pendekatan bertanggungjawab serta berasaskan data yang sahih.

Bagaimanapun, katanya, usaha mempertahankan keselamatan negara perlu dibezakan daripada kecenderungan menghukum keseluruhan komuniti pelarian yang berada dalam keadaan terdesak dan rentan.

“Kebimbangan yang wujud tidak boleh menjadi alasan untuk menormalisasikan kebencian, diskriminasi atau sentimen xenofobia terhadap pelarian dan pencari suaka.

“Kita perlu membezakan antara usaha menjaga keselamatan negara dengan kecenderungan menghukum seluruh kelompok yang berada dalam keadaan terdesak dan rentan,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pelarian Sedunia 2026.

Menurut Hikam, isu berkenaan perlu didekati berasaskan fakta, keadilan, belas ihsan dan tanggungjawab bersama tanpa mengabaikan kepentingan serta kesejahteraan rakyat tempatan.

Katanya, kerajaan perlu memperkukuh pengurusan data, dokumentasi dan pendaftaran pelarian secara lebih sistematik serta telus bagi membantu penguatkuasaan dan perancangan dasar.

Hikam berkata, peluang pendidikan kepada kanak-kanak pelarian perlu diperluas, manakala pendidikan awam dan literasi media diperkukuh bagi membendung maklumat palsu, fitnah serta sentimen xenofobia.

“Pada masa sama, program orientasi budaya, pematuhan undang-undang dan tanggungjawab sosial perlu dilaksanakan bagi membantu pelarian menyesuaikan diri dengan kehidupan dalam masyarakat Malaysia.

“Dasar dan pelan tindakan lebih menyeluruh perlu dirangka dengan mengambil kira keselamatan negara, kesejahteraan rakyat tempatan serta tanggungjawab kemanusiaan,” katanya.

Menurut Hikam, kedatangan Tahun Baharu Hijrah 1448H juga perlu dijadikan ruang untuk umat Islam menghayati semula nilai perlindungan terhadap golongan yang teraniaya, tertindas dan kehilangan tempat berlindung.

Katanya, kekuatan sesebuah negara bukan sahaja diukur melalui keupayaannya mempertahankan sempadan, tetapi juga dalam mempertahankan nilai keadilan, rahmah dan kemuliaan insan.

“Kami menyeru semua pihak memperkukuh budaya damai, memperluas ruang dialog dan menolak politik kebencian yang hanya akan merosakkan keharmonian masyarakat.

“Isu pelarian memerlukan penyelesaian yang rasional, seimbang dan berperikemanusiaan, bukannya pendekatan berasaskan ketakutan atau prejudis,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN