PETALING JAYA: Polis mengklasifikasi kes pelajar lelaki yang ditemukan lemas di dalam longkang berhampiran pintu pagar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), petang semalam sebagai mati mengejut.
Pelajar berusia 16 tahun itu dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam longkang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4.40 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 2.20 petang melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam longkang.
“Mangsa kemudian dihanyutkan arus ke kawasan tadahan air sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh pihak bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa berjaya ditemukan pada pukul 5.55 petang kira-kira 150 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang bagi tujuan bedah siasat,” ujarnya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Farahin Mohd. Yatim di talian 017-398 7188 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan yang mudah dinaiki air, longkang atau parit terutama pada musim hujan.
“Sebarang kecemasan boleh dilaporkan menerusi talian NG MERS 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4243,” jelasnya.
Semalam, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 4.23 petang.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih yang berada di bawah kawasan jagaan BBP Bangi bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan dan tiba pada pukul 4.48 petang.
Mangsa berjaya ditemukan pada jarak dua kilometer dari tempat jatuh di kawasan tadahan air. Bomba kini sedang menunggu pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN










