Kes ‘dual diagnosis’ penagih meningkat, cabaran baharu rawatan AADK

Kes ‘dual diagnosis’ penagih meningkat, cabaran baharu rawatan AADK

RUSLIN Jusoh (kiri) ketika mengiringi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib (dua dari kiri) semasa Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026, di Dataran Sungai Muda, Kepala Batas, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesan peningkatan ketara kes ‘dual diagnosis’ dalam kalangan penagih serta penyalah guna dadah iaitu keadaan apabila seseorang individu mengalami ketagihan dadah serta gangguan mental secara serentak.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, perkembangan itu menjadi cabaran baharu kepada agensi berkenaan kerana rawatan yang diberikan bukan sahaja tertumpu kepada masalah ketagihan, malah turut melibatkan aspek kesihatan mental.

Menurut beliau, setakat Januari hingga Mac tahun ini, seramai 1,346 individu atau 27 peratus daripada 5,030 penagih dan penyalah guna dadah yang sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dikesan mengalami masalah ‘dual diagnosis’.

“Angka ini menunjukkan peningkatan yang membimbangkan berbanding tempoh sama tahun lalu apabila hanya 548 individu atau enam peratus daripada 9,361 penagih dan penyalah guna dadah yang menerima rawatan di PUSPEN dikenal pasti mengalami masalah sama.

“Peningkatan ini bukan sahaja menunjukkan pertambahan pengambilan dadah sintetik, malah, turut memberi kesan kepada peningkatan gangguan mental dalam kalangan penagih,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026, di Dataran Sungai Muda, hari ini.

Ruslin berkata, trend berkenaan banyak dikaitkan dengan penggunaan dadah sintetik yang semakin meluas, termasuk bahan terlarang yang dicampurkan ke dalam cecair vape dan mudah diperoleh dalam pasaran.

Beliau berkata, gangguan mental yang dialami penagih berkenaan merangkumi pelbagai bentuk termasuk kemurungan, ketidakstabilan emosi dan halusinasi, malah, terdapat juga kes yang menunjukkan kecenderungan mencederakan diri sendiri serta mempunyai pemikiran untuk membunuh diri akibat kesan penggunaan dadah sintetik.

Justeru katanya, aspek rawatan mental perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan langsung terhadap keberkesanan proses pemulihan penagihan dadah.

“Sekarang pula, kita berdepan dengan cabaran baharu kerana penagih bukan sahaja mengalami ketagihan, tetapi, turut berhadapan masalah mental yang memerlukan pendekatan rawatan lebih menyeluruh.

“Jadi, ini memerlukan kita melihat semula modul pemulihan dari semasa ke semasa agar ia bersesuaian dengan pola penyalahgunaan dadah yang semakin berubah,” katanya.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN