Kerajaan berjaya ketepikan notis Tommy Thomas namakan Idrus sebagai pihak ketiga

Kerajaan berjaya ketepikan notis Tommy Thomas namakan Idrus sebagai pihak ketiga

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas gagal memasukkan penggantinya, Tan Sri Idrus Harun sebagai pihak ketiga dalam kes saman difailkan terhadapnya oleh bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Ab Samad.

Ia selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan notis pihak ketiga oleh Tommy.

Jika dibenarkan mahkamah, tuntutan itu membolehkan Tommy menuntut pampasan penuh atau sumbangan sebahagian daripada Idrus sekiranya beliau diarahkan membayar ganti rugi kepada Shahrir.

Sekitar 2023, Shahrir memfailkan saman itu dengan menamakan Tommy, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan sebagai defendan, dengan mendakwa pendakwaan terhadapnya dilakukan dengan niat jahat.

Ia berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterima Shahrir daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Gan Techiong menyatakan hak perlembagaan Thomas tidak terjejas dengan ketiadaan penggantinya sebagai pihak ketiga dalam tindakan saman sivil berkenaan.

Katanya, Thomas tidak perlu bimbang kerana jika mahkamah memutuskan beliau bertanggungjawab membayar pampasan kepada Shahrir kerana kerajaan selaku defendan keempat akan bertanggungjawab secara vikarius untuk membayar sebarang jumlah ganti rugi.

“Dan saya ulangi, ini kerana defendan keempat (Kerajaan) tidak menafikan bahawa defendan pertama (Tommy) telah membuat keputusan (mendakwa Shahrir) itu dalam kapasiti rasminya sebagai Peguam Negara ketika itu, dan tiada sebarang dakwaan beliau bertindak dengan niat jahat.

“Oleh kerana kerajaan akan bertanggungjawab secara vikarius jika mahkamah mendapati defendan pertama, kedua dan ketiga bertanggung jawab membayar, maka tiada asas bagi defendan pertama untuk menuntut indemniti daripada pihak ketiga.

“Plaintif telah memilih untuk tidak menamakan Tan Sri Idrus sebagai defendan bersama dalam tindakan sivil ini, dan itu adalah prerogatif plaintif untuk menentukan siapa yang hendak disamannya,” kata hakim itu.

Tambahnya, sekiranya Tommy berpendapat bahawa Idrus perlu hadir sebagai saksi, beliau boleh memohon sapina dikeluarkan terhadap Idrus.

Menurut penyata tuntutannya, Shahrir mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam jawatan awam oleh Tommy yang menjadi Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020 menafikan dakwaan Shahrir terhadap beliau termasuk salah guna kuasa dan menyifatkan ia sebagai “tidak boleh dipertahan”.

Tommy dalam pembelaan berkata, budi bicara untuk mendakwa hanya boleh dilaksanakan selepas pendakwa raya menerima kertas siasatan yang dikemukakan oleh agensi penyiasat seperti SPRM.

Beliau turut menyatakan beliau meletak jawatan pada 28 Februari 2020, manakala perbicaraan jenayah terhadap Shahrir hanya bermula pada 26 Julai 2022.

Pada 5 Januari 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggugurkan pertuduhan terhadap Shahrir selepas pihak pendakwaan menarik balik kes tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN