KUALA LUMPUR: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 merekodkan pencapaian tertinggi dalam sejarah dengan seramai 1,336 pelajar mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
Lebih membanggakan, nilai PNGK nasional menunjukkan peningkatan kepada 2.88 berbanding 2.85 pada tahun sebelumnya, malah terbaik dalam tempoh 12 tahun apabila nilai itu meningkat sebanyak 12.06 peratus (0.31 mata) berbanding PNGK 2.57 pada STPM 2013 sekali gus mencatatkan tertinggi dari aspek pencapaian pelajar.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, sebanyak 99.96 peratus atau 38,128 pelajar layak dianugerahkan sijil daripada 38,144 calon yang hadir.
“Sebanyak 1,336 pelajar atau 3.5 peratus calon mendapat PNGK 4.00, sekali gus menunjukkan peningkatan seramai 70 orang berbanding tahun 2024.
“Peratusan longgokan pelajar yang memperoleh keputusan pada PNGK 3.75, PNGK 3.00, PNGK 2.75, dan PNGK 2.00 juga meningkat berbanding tahun 2024,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2025, di MPM, dekat sini semalam.
Menurut Md. Amin, pada tahun ini, bilangan pelajar yang mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil telah meningkat daripada 53 pelajar dalam peperiksaan STPM 2024 kepada 60 pelajar.
“Manakala pelajar yang mendapat 4A juga telah meningkat daripada 1,228 pelajar pada tahun 2024 kepada 1,285 pelajar pada tahun 2025,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, peratusan pelajar yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran berbanding STPM 2024 juga didapati telah meningkat daripada 76.55 peratus kepada 77.64 peratus atau 29,616 pelajar pada tahun 2025 iaitu peningkatan sebanyak 1.09 peratus.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2025 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus iaitu gred C dan ke atas.
“Dua mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi 3.00 peratus dari segi prestasi Lulus Penuh berbanding dengan prestasi pada tahun 2024, iaitu mata pelajaran Bahasa Arab dan Bahasa Tamil.
“Dua mata pelajaran lagi menunjukkan penurunan melebihi 3.00 peratus berbanding dengan prestasi pada tahun sebelumnya iaitu Literature in English dan Bahasa Cina.
“19 mata pelajaran STPM lain tidak berubah prestasinya kerana beza peratusan calon yang Lulus Penuh antara tahun 2025 dengan 2024 adalah kurang daripada 3.00 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 18 pelajar terbaik STPM 2025 bakal menerima tajaan yuran pengajian ijazah sarjana muda daripada universiti awam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif tersebut yang kali pertama dilaksanakan melibatkan kohort STPM 2025 dengan setiap universiti awam menawarkan biasiswa yuran pengajian kepada pelajar terbaik peperiksaan itu.
Menurutnya, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa laluan pendidikan Tingkatan Enam serta memastikan pelajar cemerlang terus mendapat sokongan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Bermula dengan kohort STPM 2025, setiap universiti awam akan menawarkan biasiswa yuran pengajian Ijazah Sarjana Muda kepada pelajar terbaik STPM 2025.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua universiti awam atas ikhtiar ini,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) Tahun 2025 di sini.
Pada majlis sama, seramai 57 penerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM termasuk MUET dan SKBMW diraikan atas pencapaian cemerlang masing-masing.
Fadhlina berkata, kerajaan yakin pelajar Tingkatan Enam mempunyai potensi besar untuk berjaya dan menjadi aset penting kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
Katanya, tanggungjawab kerajaan adalah memastikan golongan tersebut memperoleh peluang, sokongan dan ruang terbaik bagi mengembangkan potensi mereka demi masa depan diri, keluarga dan negara.
Beliau berkata, STPM terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila diterima oleh lebih 2,000 universiti di seluruh dunia selain pengiktirafan daripada Cambridge University Press and Assessment, United Kingdom yang turut dicatatkan pada sijil berkenaan.
“Pencapaian cemerlang STPM 2025 membuktikan kesungguhan pelajar, guru serta ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan dalam memastikan kecemerlangan pendidikan negara terus dipertingkatkan,” katanya. – UTUSAN









