SELAYANG: Kekurangan penglihatan tidak menjadi penghalang kecemerlangan dua pelajar yang muncul menjadi antara penerima Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 dengan masing-masing mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.
Bagi Saw Xin En, 20, berkata, cabaran utama sepanjang mengikuti pengajian Tingkatan Enam adalah kesukaran melihat tulisan pada papan hitam di dalam kelas.
Bagaimanapun katanya, sokongan guru dan rakan-rakan banyak membantunya mengikuti proses pembelajaran dengan lebih lancar.
“Kalau saya tidak sempat salin nota, saya akan pinjam buku kawan. Disebabkan pelajar Tingkatan Enam dibenarkan membawa telefon bimbit, saya ambil gambar papan hitam dan besarkan imej tersebut sebelum menyalinnya semula,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2025 di sini semalam.
Xin En berharap masyarakat tidak menilai golongan orang kurang upaya berdasarkan keterbatasan fizikal semata-mata.
“Jangan tengok luaran sahaja. Berikan kami peluang terutama dalam pekerjaan. Mungkin kami mempunyai kemampuan yang orang lain tidak nampak.
“Orang kurang upaya bukanlah satu masalah besar jika kita mempunyai hati yang kuat dan sanggup menghadapi cabaran. Kami juga mampu berjaya seperti orang lain,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang lagi pelajar, Yeoh Chwen Yih, 20, pula memanfaatkan teknologi moden iaitu kecerdasan buatan (AI) untuk membantu membaca nota yang ditulis guru di papan putih.
Menurutnya, selain menggunakan buku Braille, dia banyak bergantung kepada komputer riba yang dilengkapi perisian pembaca skrin bagi membolehkan bahan pembelajaran digital diakses dengan lebih mudah.
“Kalau cikgu tulis dalam papan. Biasanya saya akan minta tolong kawan-kawan untuk beritahu ataupun kawan-kawan akan tolong tangkap gambar.
“Kemudian, saya akan gunakan AI untuk mengimbas gambar kepada bentuk tulisan yang boleh dibaca,” katanya.
Dia yang bercita-cita menjadi peguam itu berkata, bidang perundangan dipilih kerana percaya keupayaan berfikir secara kritikal dan strategik lebih penting berbanding kekangan fizikal yang dimilikinya.
“Bagi perundangan, seseorang dinilai berdasarkan pemikiran, hujah dan kecekalan diri. Jadi saya rasa kalau dari segi undang-undang saya lebih ada peluang untuk bersaing dengan orang lain,” katanya.-UTUSAN










