Pengorbanan ibu pembakar semangat

Pengorbanan ibu pembakar semangat

CALON cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 meraikan kejayaan setelah mengambil keputusan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, Marang, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seorang anak seorang tukang cuci melihat pengorbanan ibu yang bertungkus-lumus menyara keluarga selepas kematian bapanya membakar semangatnya untuk meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Nurul Atiqah Syakirah Amran, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa adalah antara 112 pelajar di Terengganu yang  memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan itu.

Katanya, selepas kematian bapanya enam tahun lalu, kehidupan mereka sekeluarga berubah apabila ibunya, Fatimah Mat Yassin, 52, bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah bagi menyara empat anak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, dia menjadikan pengorbanan ibunya sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha dan membuktikan anak daripada keluarga susah juga mampu berjaya.

“Emak bekerja keras setiap hari walaupun pendapatannya tidak seberapa. Saya melihat sendiri bagaimana dia berkorban untuk memastikan kami adik-beradik dapat meneruskan persekolahan,” katanya di SMK Bukit Sawa.

Nurul Atiqah Syakirah berkata, kejayaan tersebut didedikasikan sepenuhnya buat ibunya yang menjadi tonggak keluarga mereka.

Menurutnya, keadaan kewangan keluarga yang sederhana menyebabkan dia banyak bergantung kepada usaha sendiri dalam pelajaran selain mendapat bantuan daripada kakaknya untuk menampung keperluan pembelajaran.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Che Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, pencapaian PNGK  3.18 menyaksikan Terengganu mengekalkan pencapaian keputusan STPM terbaik nasional untuk tempoh tujuh tahun berturut-turut.

Katanya, seramai 112 calon memperoleh semua A Penuh dengan PNGK 4.0 dam 147 calon mendapat semua A.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini