Keputusan SPTM 2025 catat peningkatan, tertinggi dalam sejarah

Keputusan SPTM 2025 catat peningkatan, tertinggi dalam sejarah

MD Amin Md Taff semasa sidang media Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2025 di Dewan Besar, Majlis Peperiksaan Malaysia, Selayang di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 menunjukkan peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional kepada 2.88  berbanding 2.85 pada tahun sebelumnya, tertinggi dalam sejarah. 

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, PNGK ini merupakan PNGK tertinggi dan signifikan dari aspek pencapaian calon dengan peningkatan sebanyak 12.06 peratus (0.31 mata) berbanding PNGK 2.57 pada STPM 2013.

Menurutnya, daripada 38,144 calon yang hadir, sebanyak 99.96 peratus atau 38,128 calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2025.

“Sebanyak 1,336 calon atau 3.50 peratus calon telah mendapat PNGK 4.00, peningkatan seramai 70 calon berbanding tahun 2024.

“Daripada segi peratusan longgokan calon, secara keseluruhannya didapati peratusan longgokan calon STPM 2025 pada PNGK 3.75, PNGK 3.00, PNGK 2.75, dan PNGK 2.00 telah meningkat berbanding tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2025 di Dewan Besar MPM, Selayang hari ini. 

Menurut Md Amin, pada tahun ini, bilangan calon yang mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil telah meningkat daripada 53 calon dalam peperiksaan STPM 2024 kepada 60 calon.

“Bilangan calon yang mendapat 4A juga telah meningkat daripada 1,228 calon pada tahun 2024 kepada 1,285 calon pada tahun 2025,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, peratusan calon STPM 2025 yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran berbanding STPM 2024 juga didapati telah meningkat.

“Peningkatan itu ialah daripada 76.55 peratus kepada 77.64 peratus atau 29,616 calon pada tahun 2025. Peningkatan sebanyak 1.09 peratus,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2025 telah mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus iaitu gred C dan ke atas.

“Dua mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan melebihi 3.00 peratus dari segi prestasi Lulus Penuh berbanding dengan prestasi pada tahun 2024, iaitu mata pelajaran Bahasa Arab dan Bahasa Tamil.

“Dua mata pelajaran lagi menunjukkan penurunan melebihi 3.00 peratus berbanding dengan prestasi pada tahun sebelumnya iaitu Literature in English dan Bahasa Cina.

“19 mata pelajaran STPM lain tidak berubah prestasinya kerana beza peratusan calon yang Lulus Penuh antara tahun 2025 dengan 2024 adalah kurang daripada 3.00 peratus,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN