KUALA LUMPUR: Pembangunan bakat perlu diberi perhatian serius bagi memastikan arbitrasi timbang tara Islam terus berkembang sebagai platform penyelesaian pertikaian yang diyakini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, terdapat tiga cabaran utama yang perlu ditangani bagi memastikan pembangunan masa depan timbang tara Islam.
“Pertama, kita mesti terus melabur dalam pembangunan bakat dan kepakaran. Timbang tara Islam yang berkesan memerlukan profesional yang bukan sahaja mahir dalam undang-undang dan prosedur timbang tara, malah memahami prinsip syariah, fiqh muamalat Islam serta realiti perniagaan antarabangsa.
“Kedua, kita mesti terus menggalakkan kepastian dan keseragaman undang-undang. Penglibatan aktif antara para sarjana, pengamal dan institusi boleh menyumbang kepada pembangunan amalan terbaik yang meningkatkan keyakinan terhadap timbang tara Islam merentas bidang kuasa.
“Hanya apabila kepastian dan keseragaman undang-undang ini dicapai, barulah kita dapat menumpukan usaha kepada pembangunan jurisprudens timbang tara Islam yang boleh dipercayai di peringkat rentas sempadan. Terakhir, kita mesti menerima inovasi sambil kekal berpegang teguh kepada prinsip-prinsip asas keadilan kerana teknologi sedang mengubah amalan penyelesaian pertikaian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian Seminar Arbitrasi Islam di Pusat Arbitrasi Antarabangsa Asia (AIAC) di sini hari ini.
Menurut Azalina, kerajaan menyedari terdapat keperluan yang semakin meningkat terhadap arbitrasi iaitu mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif terhadap kaedah perbicaraan di Mahkamah Syariah.
Arbitrasi atau dikenali sebagai hakam, tahkim atau timbang tara bukan istilah asing dalam Islam dengan pelaksanaannya dibuat secara tertutup.
Katanya Malaysia diyakini berada pada kedudukan terbaik untuk menyumbang terhadap mekanisme itu sejajar perkembangan kewangan Islam, perdagangan halal, pembangunan wakaf dan pelaburan rentas sempadan.
Azalina berkata, konsep tahkim telah diaplikasikan sejak berabad-abad dalam tamadun Islam kerana merupakan kaedah penyelesaian pertikaian yang adil, cekap dan harmoni.
Jelasnya, ia merangkumi prinsip-prinsip asas yang masih relevan hingga hari ini iaitu pihak-pihak yang terlibat, ketidakberpihakan, keadilan, niat baik dan pemeliharaan hubungan.
“Pada hari ini, kerangka perundangan mungkin telah berkembang sejajar keperluan komersial.
“Pertikaian yang timbul mungkin melibatkan instrumen kewangan yang lebih kompleks, projek multinasional, aset digital dan pelaburan rentas sempadan. Namun, objektif utamanya tetap tidak berubah iaitu menyediakan proses yang adil, cekap dan diyakini,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menjelaskan pelaksanaan arbitrasi di Mahkamah Syariah berbeza dengan konsep arbitration dan hakam di Mahkamah Sivil yang digunakan secara meluas, merangkumi perkara berkaitan kekeluargaan, pertikaian sivil malah melibatkan konflik antara negara.
Kaedah itu menampilkan ciri-ciri khas yang menggalakkan perbincangan, mampu menyelesaikan kes dalam tempoh lebih singkat dan mengurangkan perseteruan. – UTUSAN










