Kenderaan terbabas punca lima sekeluarga maut di Serian

Kenderaan terbabas punca lima sekeluarga maut di Serian

Foto IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Jalan Engsengei Kampuang Lubok Ria, Serian, Sarawak dekat sini pagi tadi.

Mereka yang maut terdiri pemandu kereta, Mohammad Bistari Aidit, 30, penumpang hadapan, Nur Farah Shahirah Narudin, 26, serta penumpang belakang, Ajibah Ahmat, 47,

Dua lagi penumpang belakang iaitu Nur Ain Nasrin Narudin,16, dan Nur As-syifa Lathfya Narudin, 2, dan kesemua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.10 pagi apabila kereta yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong sebuah traktor yang bergerak di arah sama dari Kampung Lubok Ria menghala ke Serian.

Katanya, kenderaan tersebut kemudiannya terbabas sebelum melanggar paip besi di sebelah kanan jalan sebelum terjunam ke dalam parit besar berair dalam keadaan terbalik.

“Akibat insiden itu, kesemua lima mangsa termasuk pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas paramedik dari Hospital Serian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Zainal meminta semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta berhati-hati terutama di kawasan selekoh, simpang keluar masuk dan ketika waktu awal pagi yang mempunyai tahap penglihatan terhad.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan pihak polis,” jelasnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN