MELAKA: Punca kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang meninggal dunia selepas rebah ketika menjalani latihan ragbi petang semalam masih dalam siasatan polis.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, bedah siasat terhadap pelajar itu dijalankan pagi ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kejadian berlaku ketika pelajar berkenaan sedang menjalani latihan ragbi. Ketika sedang berehat, mangsa tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital kira-kira pukul 6 petang.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 6.45 petang,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.
Dzulkhairi berkata siasatan awal mendapati mangsa dilaporkan berada dalam keadaan sihat sebelum kejadian.
Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan penuh bedah siasat.
Terdahulu media melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan dua meninggal dunia selepas rebah ketika mendengar taklimat ragbi daripada jurulatih di sekolahnya di Melaka Tengah.
Dalam kejadian kira-kira 6.00 petang itu, mangsa berusia 14 tahun sempat mengikuti sesi latihan ragbi yang kemudian dihentikan seketika untuk berehat dan taklimat. – UTUSAN










