TAPAH: Kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, di Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu disahkan tidak mempunyai unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, siasatan dijalankan pihak polis tidak menemui sebarang petunjuk yang mengaitkan kehilangan wanita itu dengan perkara tersebut.
Katanya, dakwaan yang tular di media sosial kononnya mengaitkan kehilangan mangsa dengan masalah ah long juga tidak berasas berdasarkan hasil siasatan setakat ini.
“Saya faham ada perkara yang berlegar di media sosial berkenaan ah long, namun hasil siasatan kita mendapati tiada kaitan dengan orang hilang.
“Saya harap orang ramai tidak memperbesarkan perkara itu. Buat masa ini, fokus kita adalah kepada operasi pencarian di Gunung Batu Putih,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dan Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Azhar Hashim.
Operasi SAR mengesan Jaslinda diaktifkan sejak 25 Mei lalu selepas wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.
Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.
Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – UTUSAN










