SUNGAI PETANI: Masa depan negara tidak boleh ditentukan oleh sentimen perkauman, kebencian agama atau penyalahgunaan kuasa, sebaliknya dibina berasaskan keadilan, pendidikan berkualiti dan perpaduan nasional.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, akses saksama kepada pendidikan berkualiti perlu menjadi keutamaan negara bagi memastikan setiap rakyat mempunyai peluang adil untuk berjaya tanpa mengira latar belakang keluarga, kaum atau lokasi tempat tinggal.
Menurutnya, konsep keadilan bukan sekadar memberikan peluang yang sama kepada semua pihak tetapi memastikan mereka yang datang daripada keluarga miskin dan serba kekurangan turut diberikan ruang serta sokongan yang diperlukan untuk bersaing.
“Keadilan bukan sahaja kesamarataan bukan sahaja peluang yang sama, anak orang kaya dengan anak orang miskin di estet atau pedalaman atau di kampung, kita kata masuk dan bersaing. Kata itu bukan keadilan, keadilan adalah memberikan kesempatan kepada mereka, beri ruang sebaik mungkin.
“Jika tidak ada keadilan, tidak mungkin wujud fairness (keadilan) kita tak boleh meletakkan anak seorang jutawan yang menikmati segala kemudahan dan peluang terbaik untuk bersaing dengan anak pekerja estet atau petani yang serba kekurangan, kemudian mendakwa keputusan persaingan itu mencerminkan keadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serahan Geran Tahunan Kerajaan berjumlah RM25 juta kepada Universiti AIMST selain tambahan RM1 juta bagi membantu pelajar daripada keluarga miskin di universiti itu meneruskan pengajian mereka.
Anwar berkata, pendidikan merupakan instrumen paling penting dalam usaha mengangkat martabat rakyat dan membina masa depan negara yang lebih baik.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan terus meletakkan pendidikan sebagai penerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan Persekutuan, mengatasi sektor-sektor lain termasuk pertahanan.
“Dalam Belanjawan Negara, peruntukan tertinggi adalah pendidikan dan kedua tertinggi adalah kesihatan. Ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan modal insan,” katanya.
Anwar turut menyeru generasi muda supaya menolak politik perkauman, ketaksuban agama dan budaya rasuah demi membina Malaysia yang lebih maju dan bersatu.
“Cukuplah dengan perkauman. Cukuplah dengan ketaksuban agama. Cukuplah dengan rasuah yang berleluasa. Andalah yang akan menentukan masa depan negara ini dan memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih hebat pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, prestasi ekonomi negara ketika ini berada pada landasan yang baik meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.
Katanya, nilai ringgit semakin kukuh, kadar pengangguran berada pada tahap rendah manakala pelaburan asing dan domestik mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan.
“Tentu kita syukur tapi saya selalu sebut jangan kita selesa dengan pencapaian tersebut dan terus memberi perhatian kepada cabaran masa depan khususnya dalam bidang pendidikan,” ujarnya.-UTUSAN










