SEREMBAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkenalkan Pegawai Perhubungan Sekolah daripada tiga agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dalam usaha mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasation Ismail berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program Citra Negara MDN: Sekolah Selamat yang menyasarkan pelajar tingkatan enam sebagai kelompok penting dalam penyampaian maklumat berkaitan keselamatan dan pencegahan jenayah.
Menurutnya, pegawai perhubungan yang diperkenalkan akan berperanan sebagai penghubung antara agensi kerajaan dan warga sekolah dalam menyampaikan maklumat serta meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai ancaman keselamatan.
“Program Sekolah Selamat ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek keselamatan fizikal, malah merangkumi pencegahan penyalahgunaan dadah, gangguan emosi dan mental, buli siber, ancaman digital serta fahaman ekstremisme.
“Pelajar boleh menjadi agen komunikasi yang baik dalam menyampaikan mesej keselamatan kepada masyarakat. Sebab itu kita memperkenalkan Pegawai Perhubungan Sekolah daripada PDRM, AADK dan JAPEN bagi memperkukuh usaha tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Citra Negara MDN: Sekolah Selamat di Kolej Tingkatan Enam Tunku Muhriz, di sini hari ini.
Saifuddin berkata, sekolah perlu menjadi ruang yang bebas daripada unsur keganasan dan jenayah termasuk buli fizikal, pergaduhan, gangsterisme, gangguan seksual, pencerobohan pihak luar serta pelbagai bentuk jenayah lain.
Katanya, sekolah juga perlu dilindungi daripada ancaman penyalahgunaan dadah, penipuan dalam talian, penggunaan akaun keldai (mule account), gangguan emosi dan mental serta penyebaran fahaman ekstremisme yang boleh mengancam keselamatan negara.
“Kes-kes penglibatan remaja dalam elemen ekstremisme mungkin terpencil, namun tetap dipandang serius oleh pihak berkuasa kerana aspek keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Program hari ini melibatkan empat institusi pendidikan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Haji Mohd Said, SMK Tengku Ampuan Durah, Kolej Tingkatan Enam Tunku Muhriz, dan Kolej Vokasional Ampang yang melibatkan seramai 1,413 orang pelajar. – UTUSAN









