Kawalan sempadan lemah punca lambakan Rohingya di Malaysia

Kawalan sempadan lemah punca lambakan Rohingya di Malaysia

DIANGGARKAN bilangan etnik Rohingya di Malaysia adalah seramai 200,000 orang pada 2022. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara-negara lain di rantau ini tidak berdepan masalah pelarian Rohingya sebesar Malaysia, kerana kawalan sempadan dan penguatkuasaan imigresen mereka lebih tegas.

Malaysia memerlukan pelan jangka panjang yang jelas dan tegas berhubung pengurusan etnik Rohingya di negara ini.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Na’im Brundage berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan isu itu berterusan tanpa dasar yang menyeluruh, konsisten dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Katanya, kegagalan menangani isu lambakan warga Rohingya secara menyeluruh bukan sahaja memberi tekanan kepada kemudahan awam, malah berisiko menimbulkan pelbagai implikasi sosial, ekonomi dan keselamatan yang menjejaskan kesejahteraan rakyat tempatan.

“Singapura, sebagai contoh, membuktikan kawalan keluar masuk negara yang ketat dan konsisten mampu mengelakkan lambakan pelarian.

“Tindakan kerajaan hari ini yang semakin membuka ruang kepada komuniti itu untuk terus berkembang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat tempatan.

“Dengan jumlah semakin meningkat, anak-anak yang lahir dan membesar di negara ini serta rangkaian komuniti yang semakin berakar, persoalan yang perlu dijawab ialah berapa lama lagi sebelum komuniti ini mula menuntut kewarganegaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, tular mengenai kewujudan flat empat tingkat yang kelihatan uzur, selain sambungan paip air dan pendawaian elektrik mencurigakan yang dikaitkan dengan komuniti Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat.

Na’im berkata, kehadiran warga Rohingya tidak sepatutnya dibiarkan berleluasa, apatah lagi sehingga wujud perkampungan mereka sendiri.

Katanya, Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan tidak mengiktiraf status pelarian secara rasmi di bawah undang-undang negara.

“Berdasarkan data Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), sehingga akhir Februari lalu, terdapat kira-kira 126,144 Rohingya yang berdaftar di negara ini. Jumlah itu berpotensi terus meningkat sekiranya kerajaan terus gagal mengambil tindakan yang tegas,” katanya.

Ujarnya, wujud kebimbangan sekiranya isu itu sebenarnya melibatkan penyeludupan manusia yang tersusun, akibat kelemahan penguatkuasaan negara.

“Terdapat laporan ada dalam kalangan mereka telah membayar puluhan ribu ringgit kepada ejen untuk memasuki negara ini. Jika benar, perkara ini bukan lagi sekadar isu pengurusan pelarian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN