Kanak-kanak, warga emas paling terdedah kesan El Nino ekstrem - Utusan Malaysia

Kanak-kanak, warga emas paling terdedah kesan El Nino ekstrem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kanak-kanak dan warga emas merupakan antara yang beri­siko tinggi se­kiranya negara berdepan feno­mena El Nino ekstrem.

Pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, selain golongan itu, ibu hamil, pekerja luar serta individu yang menghidap pe­nyakit kronik juga mudah terjejas jika terdedah kepada suhu tinggi secara berpanjangan.

Menurutnya, kanak-kanak berusia bawah lima tahun be­risiko kerana sistem termoregulasi badan mereka belum matang, manakala warga emas pula tidak mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan haba.

“Ibu hamil juga berdepan risiko dehidrasi yang boleh memberi kesan kepada janin, manakala pekerja luar seperti petani, pekerja pembinaan, pe­ngawal keselamatan dan atlet terdedah secara langsung kepada haba dalam tempoh yang lama.

“Individu yang mempu­nyai penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes, penyakit jantung dan obesiti turut berisiko mengalami komplikasi kesihatan yang lebih serius,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini me­laporkan, fenomena El Nino diramal bermula bulan ini dengan jangkaan meningkatkan risiko kemarau, gelombang haba dan kebakaran hutan.

Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) menerusi Pusat Ramalan Iklim (CPC) menganggarkan kebarangkalian El Nino kali ini mencapai kategori ekstrem sekitar 30 peratus.

Menurut laporan itu, El Nino kali ini juga berpotensi berkembang menjadi episod yang setanding dengan El Nino 1997/98 dan 2015/16, iaitu dalam kategori ekstrem.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, keadaan El Nino ekstrem mampu meningkatkan risiko dehi­drasi, strok haba dan koma akibat kepanasan yang melampau.

Katanya, apabila cuaca semakin kering, bukan sahaja suhu meningkat tetapi debu dan jerebu juga bertambah.

“Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan pe­nyakit berkaitan batuk, sakit jantung, tekanan darah tinggi, penyakit kulit, strok dan kanser jika pencemaran udara berlaku dalam tempoh yang panjang.

“Zarah halus (particulate matter) yang disedut ke dalam paru-paru boleh memasuki saluran darah sebelum beredar ke seluruh badan dan menjejaskan kesihatan.

“Penyakit bawaan vektor seperti demam denggi juga boleh meningkat sekiranya cuaca panas dan kering berlarutan,” katanya.

Sharifa Ezat berkata, aspek keterjaminan makanan perlu diberi perhatian kerana cuaca panas berpanjangan boleh menjejaskan bekalan makanan.

“Apabila sumber makanan merosot, harga pasti akan me­ningkat dan sukar diperoleh oleh rakyat.

“Kerajaan perlu memastikan bekalan air dan makanan mencukupi serta menyediakan garis panduan berkaitan risiko haba untuk semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN