SIK: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut dan empat lagi mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Charok Pelandok, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sik, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Jamil Mat Daud berkata, kemalangan melibatkan dua buah kereta iaitu Perodua Bezza yang dinaiki tiga mangsa dan Proton Persona dinaiki dua mangsa.
“Mangsa yang menaiki Perodua Bezza terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan dua tahun serta seorang wanita berusia lingkungan 40-an.
“Dua lagi mangsa pula menaiki Proton Persona, anggota bomba melakukan pemantauan keselamatan di lokasi kejadian serta memberikan rawatan awal kepada mangsa terlibat,” katanya di sini, semalam.
Tambahnya, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan. – UTUSAN










