Kami filem pertama ketengahkan budaya 'Mamu' dalam The Real Mamu - Pengarah - Utusan Malaysia

Kami filem pertama ketengahkan budaya ‘Mamu’ dalam The Real Mamu – Pengarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah, Zulkifli Abu Hassan, berkata The Real Mamu bakal menjadi filem tempatan pertama yang mengetengahkan budaya masyarakat lelaki India Muslim yang dikenali sebagai ‘Mamu’ di Pulau Pinang.

Menurut Zulkifli, naskhah berkenaan tampil dengan kelainan berbanding filem lain yang pernah mengangkat latar masyarakat Pulau Pinang sebelum ini.

“Saya fikir kami akan menjadi yang pertama membawakan kisah mengenai Mamu. Kami mahu memperkenalkan budaya masyarakat itu kepada penonton. Sebab itu saya harap orang ramai datang menonton The Real Mamu nanti.

“Filem ini tidak sama seperti yang pernah ada. Walaupun watak utamanya dilakonkan Saiful Apek, jalan ceritanya bukan sekadar menghiburkan, malah mampu menyentuh emosi penonton. Pada masa sama, kami turut menjanjikan elemen aksi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Royale Chulan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, dia menggabungkan elemen komedi, romantik dan aksi bagi memastikan penonton dapat menghayati kisah pengorbanan seorang bapa yang menjadi tunjang penceritaan filem berkenaan.

“Saya melihat orang sanggup menonton filem Bollywood yang berdurasi sehingga tiga jam kerana mempunyai pelbagai elemen menarik. Jadi, dalam The Real Mamu, saya pastikan jalan ceritanya menawarkan gabungan elemen itu supaya penonton memperoleh pengalaman berbeza.

“Jalan ceritanya menyentuh naluri penonton tanpa mengira bangsa, malah saya percaya penonton luar yang tidak memahami bahasa Melayu juga masih dapat mengikuti kisah ini menerusi muzik, visual dan perkembangan penceritaannya. Insya-Allah mereka akan melihat kelainan yang kami bawakan,” katanya.

The Real Mamu mengisahkan seorang lelaki dikenali sebagai Mamu yang sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi anaknya, Shah.

Selain Saiful Apek, filem itu turut dibintangi Wan Raja, Kodi Rasheed, Wafariena, Didie Alias, Adrea Abdullah, Risteena, Adam Corrie dan Yasin Senario.

Filem terbitan Z & K Creative Sdn. Bhd. itu dijangka menemui penonton dalam masa terdekat selepas selesai menjalani penggambaran di Pulau Pinang. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN