Kalau tidak bekerja, saya akan layan orang di Threads - Kamal Adli - Utusan Malaysia

Kalau tidak bekerja, saya akan layan orang di Threads – Kamal Adli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli, mengakui gemar mengisi masa lapang dengan melayan kerenah pengikut di platform Threads apabila tidak terikat dengan komitmen kerja.

Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, berkata, rutin tersebut mula menjadi kebiasaannya selepas tidak lagi bergelar suami.

“Sebab banyak masa, kan? Dulu saya memang fokus kepada kehidupan sebagai suami dan bapa.

“Tetapi sekarang, kalau tidak bekerja, kebanyakan masa saya bersendirian di rumah. Jadi, itulah sahaja yang saya buat, bermain Threads. Tidak ada apa-apa pun,” katanya.

Kamal berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Khas kenderaan JETOUR T2 sempena International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kamal turut berterima kasih kepada para peminat yang sentiasa melayan komen serta gurauannya di media sosial.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada orang-orang di Threads yang selalu menemani saya. Bonusnya, apabila berada di Threads, ramai yang sentiasa bersama saya.

“Kalau saya membalas komen, itu bermaksud saya memang sedang bersendirian, sedang membuat hantaran dan tiada apa yang hendak dilakukan. Jadi, saya boleh melayan semua orang dan semua orang boleh melayan saya. Terima kasih banyak kepada geng-geng Threads,” katanya.

Berkongsi perkembangan lain, Kamal meluahkan rasa terharu apabila menerima hadiah sebuah kenderaan JETOUR T2 yang disifatkannya lebih sesuai dengan minatnya terhadap aktiviti lasak, khususnya perkhemahan.

“Inilah kereta yang saya perlukan. JETOUR T2 sangat diperlukan kerana sebelum ini saya hanya memandu kereta sedan yang kurang sesuai untuk aktiviti sebegini.

“Apabila ada kereta lasak seperti ini, saya rasa ia sangat sesuai dengan diri saya yang memang gemar berkhemah.

“Saya sudah lama berjinak-jinak dengan aktiviti perkhemahan. Sebelum ia menjadi trend lagi, saya memang kaki camping.

“Sejak 10 tahun lalu saya sudah mula berkhemah. Cuma, beberapa tahun kebelakangan ini saya menjadi lebih serius dan mula membeli pelbagai kelengkapan perkhemahan yang lengkap. Khemah saya pun macam banglo, siap ada tilam angin dan boleh menonton filem lagi,” kongsinya.

Terdahulu, selain Kamal, antara selebriti tempatan yang turut menerima kenderaan JETOUR T2 ialah Ernie Zakri, Azhan Rani dan Hayden Wong. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN