Kalau salah, sudah lama saya buat video mohon maaf - Aisha Retno - Utusan Malaysia

Kalau salah, sudah lama saya buat video mohon maaf – Aisha Retno

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Aisha Retno menegaskan lagu Rollerblade yang dibawakan sewaktu persembahan di konsert akhir Talk To My Manager musim kedua bersama Anggerik telah menerima persetujuan yang sah daripada pemilik lagu tersebut.

Justeru, Aisha, 25, mempercayai pasukan perundangan telah mengambil tindakan sewajarnya dan menganggap perkara itu telah selesai sepenuhnya.

“Bagi saya, kita duduk diam dan santai lebih-lebih lagi apabila perkara ini lebih awal dibincangkan dengan pasukan perundangan dan pihak label. Ini bukan perkara main-main kerana membabitkan lagu orang.

“Jadi saya tak ada komen lanjut, biarkan orang berkata-kata. Saya pun bukan baharu semalam menghadapi isu ini, Batik pun ia diperdebatkan.

“Kita tahu mana benar, mana salah. Kalau saya salah, semestinya sudah lama saya buat video permohonan maaf dan tentunya sudah lama saya ditegur,” katanya.

Terdahulu kecoh di laman TikTok apabila netizen negara seberang mempersoalkan kewajaran lirik lagu Rollerblade dipopularkan kumpulan No Na diubah sewaktu persembahan Aisha Retno dan Aggerik sempena konsert akhir Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).

Video Tersebut mencetuskan perdebatan hangat, dengan netizen Indonesia menyifatkan Malaysia sebagai mencuri dan memanipulasi lagu berkenaan.

Disoal sama ada wajar atau tidak perkara tersebut dibesar-besarkan, Aisha memaklumkan dia bukanlah orang yang tepat untuk mengulas isu berkaitan.

“Pergaduhan manja antara Malaysia dan Indonesia ini sudah berlaku sejak dulu. Kalau saya komen, mungkin kedengaran berat sebelah. Tapi, ingin dijelaskan di sini bahawa lagu yang dipersembahkan tempoh hari adalah nyanyian semula, sesuatu yang tidak seharusnya dijadikan isu.

“Tetapi setiap orang ada pandangan masing-masing. Orang Indonesia pula sangat teguh dengan sikap nasionalisme mereka, disebabkan itu saya menghormati mereka.

“Mereka berbahasa Indonesia ke mana sahaja mereka pergi, sokong barangan buatan tempatan dan sebagainya. Jadi apa sahaja yang menjentik semangat nasionalisme itu, mereka tidak akan biarkan.

“Malaysia pula lebih tenang menghadapi isu sebegini. Jadi ada negatif dan positifnya. Saya sebagai individu berdarah campur Malaysia Indonesia tidak usah memanjangkan isu, serahkan perkara ini kepada yang lebih arif,” kongsinya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN