PETALING JAYA: Pelakon, Zahirah MacWilson menerima dengan hati terbuka kritikan segelintir penonton yang kurang berpuas hati dengan cara dia membawakan watak Dahlia dalam drama bersiri Good Boys Go To Heaven.
Menurut Zahirah atau Nur Zahirah MacWilson Zainol MacWilson, 31, dia tidak pernah meletakkan harapan untuk disenangi semua pihak, sebaliknya hanya berusaha memberikan persembahan terbaik seperti yang diinginkan pengarah, Ariff Zulkarnain.
“Saya tak harapkan semua orang suka saya, saya tak harapkan semua orang suka lakonan saya. Saya berada di sini kerana pengarah dan penerbit percaya kepada saya, dan saya cuba memberikan yang terbaik.
“Mestilah ada masanya saya akan rasa, ‘kalaulah saya boleh buat lebih baik’ atau ‘Patutnya saya buat macam ini’. Itu normal bagi saya. Benda itu memang akan ada.
“Tapi saya bukan di sini untuk mendapatkan pengesahan sesiapa. Selagi ada orang di luar sana yang rasa sesuatu atau terkesan dengan lakonan saya, maka tugas saya sudah selesai.
“Jika mereka tidak suka, itu hak dan pendapat masing-masing,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis tayangan drama Good Boys Go To Heaven di 1 Utama, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelakon Curi Curi Cinta itu berkata, dia turut menerima komen daripada segelintir penonton yang mempertikaikan cara watak Dahlia meratapi kehilangan anaknya, Ahyan.
Jelasnya, pendekatan tersebut merupakan kehendak pengarah yang mahu menimbulkan rasa syak wasangka dalam kalangan penonton terhadap identiti sebenar suspek pembunuhan Ahyan.
“Ariff memang ada pesan supaya jangan terlalu banyak menangis kerana dia mahu watak Dahlia kelihatan seperti suspek.
“Tapi saya juga mahu tunjukkan kesedihan berlaku dengan pelbagai cara, tidak semestinya perlu nangis atau meratapi, kerana ada orang apabila terlalu sedih dia tak mampu menangis langsung ketika itu.
“Ia bergantung kepada situasi, mentaliti, dan bagaimana dia dibesarkan. Watak saya ada banyak benda berlaku, dia dan suaminya dituduh membunuh.
“Terlalu banyak benda berlaku sampai dia tak ada masa nak duduk dan meratapi kematian anaknya pada waktu itu.
“Tapi ya, saya rasa sesetengah penonton nampak dari satu dimensi sahaja iaitu kalau mati kena nangis masa itu juga. Tapi tak selalu macam itu. Kadang-kadang orang yang paling diam itulah yang paling bergelut dengan perasaan mereka,” katanya.
Terdahulu, lakonan Zahirah sebagai Dahlia menerima pelbagai reaksi daripada penonton. Walaupun ada yang mengakui tersentuh dengan persembahannya sebagai seorang ibu yang kehilangan anak, terdapat juga segelintir yang meluahkan rasa kurang puas hati terhadap penghayatan watak tersebut.
Bagaimanapun, Zahirah membalas komen berkenaan secara berseloroh dengan meminta penonton tersebut ‘menutup mata seketika’ setiap kali dia muncul di skrin, namun berharap mereka terus mengikuti siri berkenaan.
Drama bersiri premium Good Boys Go to Heaven menceritakan tentang kejadian pembunuhan melibatkan kanak-kanak berusia 8 tahun, Ahyan, di Kuala Makar.
Sejak mula ditayangkan, drama thriller psikologi arahan Ariff Zulkarnain ini mencuri tumpuan apabila penonton mula berbincang dan berteori mengenai suspek sebenar pembunuh Ahyan. -UTUSAN










