PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini memutuskan satu mesyuarat Jawatankuasa Kabinet berhubung pekerja asing akan diadakan seawal minggu depan bagi memastikan pelbagai isu berkaitan dapat diurus dan diselesaikan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan antara perkara yang akan diberi perhatian ialah isu melibatkan pekerja asing dalam pelbagai sektor termasuk sektor makanan dan minuman (F&B).
“Jemaah Menteri telah memutuskan supaya mesyuarat Jawatankuasa Kabinet akan diadakan seawal minggu hadapan dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi memastikan isu-isu akan dapat diuruskan dan diselesaikan, insyaAllah.
“Jadi bagi sektor-sektor yang sedang membincangkan isu pekerja khususnya pekerja asing, kita nantikan mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini semalam.
Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan bahawa Jemaah Menteri turut meneliti maklum balas yang dikemukakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menurut beliau, maklum balas itu adalah berkaitan dengan tempoh bayaran oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kepada vendor tempatan supaya diringkaskan atau dipendekkan.
“Ini bagi memastikan bagi syarikat ataupun vendor-vendor tempatan dari segi aliran kewangan ataupun ‘cash flow’ dapat diuruskan dengan lebih baik. Jadi ini dalam pertimbangan Jemaah Menteri,” ujarnya. – UTUSAN










