Jangan terpedaya naratif palsu, Rafizi arkitek reformasi gagal - AMK

Jangan terpedaya naratif palsu, Rafizi arkitek reformasi gagal – AMK

FARZANA HAYANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rakyat diharap tidak lagi terpedaya dengan berita dan ceritera palsu yang ingin disampaikan oleh pemimpin parti Kancil, terutama Datuk Seri Rafizi Ramli yang terbukti menjadi arkitek reformasi gagal meskipun diberi kepercayaan untuk menjadi menteri kanan.

Ahlis Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Farzana Hayani berkata, rakyat tidak seharusnya terpedaya dengan naratif dan dakwaan yang dibawa Pengasas Parti Bersama itu yang kini dilihat cuba mengalihkan perhatian daripada kegagalannya sendiri ketika berada dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Katanya, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Rafizi tampil sebagai arkitek kepada pelbagai formula dan agenda reformasi yang dijanjikan kepada rakyat.

“Namun, apabila diberi peluang memegang jawatan kanan dalam kerajaan, banyak janji serta pembaharuan yang dicanangkan gagal diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan.

“Hari ini, Rafizi dilihat cuba menampilkan dirinya sebagai pengkritik kerajaan dengan mendakwa agenda reformasi tidak dilaksanakan.

“Hakikatnya, beliau sendiri merupakan sebahagian daripada pentadbiran yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan dasar-dasar tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Farzana berkata, adalah tidak wajar untuk beliau melepaskan tanggungjawab dan meletakkan sepenuhnya kesalahan kepada pihak lain.

Jelasnya, tindakan Rafizi yang kini cuba meraih semula sokongan pengundi Pakatan Harapan melalui naratif menyalahkan kerajaan hanya memperlihatkan percubaan untuk menutup kelemahan serta kegagalannya sendiri ketika diberi mandat.

“Rakyat berhak menilai berdasarkan rekod prestasi, bukannya retorik politik yang berubah mengikut keadaan.

“PKR akan terus turun padang bagi menjelaskan fakta sebenar kepada rakyat agar mereka tidak terpengaruh dengan dakwaan yang mengelirukan,” katanya.

Justeru katanya, rakyat wajar membuat penilaian berasaskan fakta, rekod pencapaian dan tanggungjawab yang telah dipikul oleh setiap pemimpin, bukannya menerima bulat-bulat naratif yang tidak disandarkan kepada bukti yang kukuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN