GOPENG: Seramai 20 penduduk Orang Asli terperangkap selepas jambatan yang menghubungkan Kampung Ulu Geruntum, Kuala Razila di sini runtuh akibat kejadian kepala air susulan hujan lebat semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 5.29 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati jambatan yang menghubungkan penduduk kampung telah runtuh selepas dihanyutkan arus deras sungai.
“Seramai 20 mangsa didapati terperangkap di rumah masing-masing namun berada dalam keadaan selamat.
“Mereka terdiri daripada empat kanak-kanak lelaki, dua warga emas, lima lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa termasuk seorang wanita mengandung serta tiga bayi.
“Mangsa turut memaklumkan bekalan makanan mereka masih mencukupi walaupun terputus hubungan akibat kerosakan jambatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sabarodzi berkata, selain penduduk kampung, terdapat seramai 30 lagi penduduk yang keluar bekerja tidak dapat pulang ke rumah masing-masing berikutan laluan utama itu terputus.
Kata beliau, hasil perbincangan bersama pelbagai agensi dan pihak berkuasa, kesemua penduduk yang terkandas telah ditawarkan penginapan sementara di sebuah resort berhampiran.
“Penduduk yang tidak dapat pulang ke rumah telah ditawarkan untuk menetap sementara di Gopeng Highlands Resort sementara menunggu situasi kembali selamat. Pemantauan berkala akan diteruskan bagi menilai perkembangan semasa,” katanya. – UTUSAN









