PRN Johor: Amanah tampil 13 muka baharu daripada 19 calonnya - Utusan Malaysia

PRN Johor: Amanah tampil 13 muka baharu daripada 19 calonnya

PRESIDEN Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Amanah Zon Selatan di Taman Universiti, Iskandar Puteri disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) akan menampilkan 13 muka baharu daripada keseluruhan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi pihaknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, separuh daripada muka baharu itu terdiri daripada calon muda, manakala dua daripada wanita.

“Majoriti calon yang bertanding di bawah logo Amanah merupakan anak tempatan. Kita menyasarkan enam kerusi di bahagian utara Johor sementara empat atau lima kerusi di sebelah pantai timur Johor,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Johor (Zon Selatan) di Taman Universiti, di sini malam tadi. Turut hadir, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad.

Terdahulu ketika berucap, Mohamad mahu semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) tidak mempertikai calon-calon gabungan itu apabila diumumkan, Isnin ini.

“Mungkin akan ada pihak yang merajuk tetapi semua perbezaan itu perlu ditamatkan untuk memenangkan calon PH. Kita bina perpaduan dan harapkan kekal untuk kestabilan,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly pula berkata, rakyat Johor perlu memberikan peluang kepada PH untuk sekali lagi mentadbir negeri ini setelah berjaya melakukan tugas dengan baik di peringkat Pusat, ketika ini.

“Walaupun PH hanya mentadbir Johor selama 22 bulan, banyak kemajuan yang telah dilakukan. Dalam aspek perumahan, kita hapuskan Kuota Menegak Kerajaan dan menyediakan rumah untuk golongan M40 menerusi Rumah Mampu Biaya Johor.

“Itu contoh kita mempunyai idea, kemampuan dan visi sekiranya diberi mandat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN