PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah premis di Pusat Perdagangan Lagoon Perdana di sini Khamis lalu, kerana dipercayai dijadikan markas penganut ajaran syiah warga asing.
Dalam operasi bersepadu pukul 9.34 malam itu, seramai 226 individu warganegara Pakistan, India dan Bangladesh berada dalam lokasi serbuan.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, hasil pemeriksaan mendapati individu terbabit terdiri daripada 147 lelaki, 51 wanita dan 28 kanak-kanak.
“Tindakan adalah merujuk kepada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, melibatkan siasatan di bawah Seksyen 12(c) berkaitan menghina pihak berkuasa agama, Seksyen 13 berkaitan penyebaran pendapat yang bertentangan dengan fatwa.
“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 16 berkaitan penerbitan yang bertentangan dengan hukum syarak terhadap aduan yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran syiah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi melibatkan kerjasama enam agensi penguat kuasa iaitu JAIS, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kekuatan keseluruhan seramai 120 anggota.
“Susulan pemeriksaan tersebut, MBSJ telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan di bawah Subseksyen 72(1)(a) dan (c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] berhubung beberapa ketidakpatuhan berkaitan pendirian dan pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.
“Pemilik premis diberikan tempoh 14 hari untuk mematuhi kehendak notis yang dikeluarkan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shahzihan berkata, JAIS akan bertindak tegas dan berterusan dalam membanteras serta mengekang ajaran syiah di Selangor.
Justeru, pihaknya menyeru menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan ajaran syiah menyalurkannya kepada Hotline JAIS di talian 1800-88-2424 bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Beliau turut menasihatkan umat Islam agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan ajaran syiah.-UTUSAN










