KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memberi jaminan penambahbaikan fasiliti dan penyampaian perkhidmatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) akan terus dilaksanakan bagi memastikan keselesaan pesakit, waris serta orang awam.
JKNS berkata, pihaknya mengambil maklum isu yang dibangkitkan menerusi satu hantaran di media sosial berkaitan suasana hospital pada waktu malam melibatkan ruang lobi, tempoh menunggu di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD), operasi kantin serta kemudahan parkir, baru-baru ini.
JKNS menjelaskan, sebagai langkah penambahbaikan, pihak hospital akan memperkukuh pemantauan di kawasan lobi, laluan awam dan ruang menunggu pada waktu malam, selain menyelaras semula maklumat berkaitan operasi kantin.
“Selain itu, komunikasi kepada pesakit dan waris berhubung proses menunggu serta keutamaan rawatan di ETD akan terus dipertingkatkan.
“JKNS dan HQE komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat, berhemah dan berterusan kepada semua pesakit, di samping menambah baik kemudahan serta pengalaman orang awam dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut JKNS, pesakit di ETD menerima rawatan berdasarkan tahap kecemasan melalui sistem triage dan bukannya mengikut nombor giliran semata-mata, dengan kes kritikal diberi keutamaan.
Katanya, pada malam yang menjadi perhatian itu, seramai 42 pesakit Zon Hijau direkodkan menerima perkhidmatan antara pukul 9 malam hingga 10 pagi dengan dua pegawai perubatan bertugas di zon berkenaan.
Mengenai individu yang dilihat berehat atau tidur di ruang lobi dan laluan hospital, JKNS menjelaskan, hasil semakan mendapati mereka bukan pesakit yang menunggu rawatan atau temu janji di ETD.
“Sebahagian besar daripada mereka ialah waris, penjaga atau pengunjung yang datang dari luar daerah dan kawasan pedalaman serta berdepan kekangan mendapatkan penginapan sementara di luar hospital.
“HQE mempunyai balai pelawat, namun kemudahan itu masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah waris yang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, JKNS memaklumkan kantin HQE beroperasi 24 jam setiap hari kecuali ditutup sementara pada setiap Sabtu dari pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi bagi tujuan kerja pembersihan berjadual.
Mengenai isu parkir, JKNS mengakui kemudahan parkir di kawasan hospital adalah terhad pada waktu tertentu, terutama ketika jumlah pesakit, waris dan pengunjung meningkat. – UTUSAN










