PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkukuh pemantauan terhadap penerbitan dan penulisan berkaitan agama bagi memastikan kandungannya tepat serta tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihaknya memandang serius isu kesalahan petikan ayat al-Quran yang tular baru-baru ini dan mahu memastikan perkara sama tidak berulang.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan penghasilan karya-karya baharu berkaitan agama, namun aspek keaslian dan kesahihan kandungan perlu diberi keutamaan oleh setiap penulis serta penerbit.
“Kita ingin memberikan peringatan kepada semua penulis. Di samping menggalakkan karya-karya baharu dalam bidang agama, kita mahu memastikan kandungannya menepati aspek keaslian dan kesahihan.
“Perkara ini amat penting dan kita akan cuba meningkatkan pemantauan dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Konvensyen Profesion Peguam Syarie 2026 pada hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu penerbitan buku Wanita Syurga oleh penulis yang juga pempengaruh Islamik, Aisyah Hijanah yang dikatakan mengandungi kesalahan potongan ayat al-Quran.
Katanya, pihaknya kini sedang menubuhkan Majlis Penerbitan Buku-Buku Agama Malaysia yang menghimpunkan penerbit-penerbit buku agama di negara ini.
Zulkifli berkata, platform tersebut akan membantu kerajaan meneliti isu-isu berkaitan penerbitan agama dengan lebih menyeluruh serta mengenal pasti penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dari semasa ke semasa.
“Insya-Allah, kita akan melihat perkara ini dengan lebih mendalam bagi menentukan langkah-langkah yang boleh dilakukan selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengambil maklum tindakan penulis terbabit yang telah memohon maaf berhubung kesilapan berkenaan.
“Saya dimaklumkan penulis sudah memohon maaf, namun kita mahu memastikan perkara seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.
Ditanya sama ada penulis terbabit akan dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung isu berkenaan, beliau berkata, pihaknya akan terlebih dahulu mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sebelum ini, Aisyah tampil membuat permohonan maaf selepas tularnya isu melibatkan buku dakwah terbitannya yang didakwa mengandungi kesalahan potongan ayat al-Quran.
Menerusi Instagram, Aisyah atau Aisyah Hijanah Azhari mengakui kekhilafan dan memaklumkan dirinya mengambil tanggungjawab penuh atas perkara yang berlaku.-UTUSAN










