Isu pusat kitar semula, MPAJ diminta segera beri jawapan 

Isu pusat kitar semula, MPAJ diminta segera beri jawapan 

ISKANDAR ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diminta menjawab segera cadangan tapak alternatif bagi Pusat Kitar Semula di Kampung Perwira Jaya selepas lebih 10 hari masih tidak memberi sebarang maklum balas.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kelewatan MPAJ memberi jawapan menimbulkan persoalan sama ada bantahan penduduk benar-benar diberi perhatian.

Iskandar berkata, pihaknya sudah mencadangkan tapak alternatif di Pandan Indah Commercial Park selepas tapak asal di dewan terbuka MPAJ Kampung Perwira Jaya dibantah penduduk.

Katanya, tempoh lebih 10 hari tanpa jawapan bukan sahaja mengecewakan penduduk, malah menambah kebimbangan mereka berhubung status cadangan alternatif yang dikemukakan.

“Penduduk membantah kerana dewan terbuka yang sepatutnya dikekalkan sebagai kemudahan komuniti kini mahu dijadikan pusat kitar semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, isu itu bukan sekadar soal tapak projek, sebaliknya membabitkan hak penduduk terhadap kemudahan awam yang sudah lama digunakan untuk aktiviti sosial setempat.

Katanya, MPAJ wajar menjelaskan mengapa dewan terbuka itu masih dipilih sedangkan cadangan tapak alternatif sudah dihantar lebih 10 hari lalu.

“Kami telah menghantar cadangan untuk tapak alternatif iaitu di Pandan Indah Commercial Park kerana tapak asal di dewan terbuka MPAJ Kampung Perwira Jaya telah dibantah oleh penduduk,” katanya.

Iskandar berkata, pemilihan tapak asal turut menimbulkan kebimbangan kerana pusat kitar semula itu terletak berhampiran rumah penduduk.

“Kehadiran pusat itu yang berhampiran dengan rumah-rumah kediaman juga membimbangkan penduduk. Ia dilihat sebagai ancaman kepada kesihatan dan keselamatan mereka,” katanya.

Beliau berkata, MPAJ tidak sepatutnya membiarkan penduduk terus tertanya-tanya selepas cadangan alternatif dikemukakan bagi menyelesaikan bantahan tersebut.

Katanya, sikap berdiam diri lebih 10 hari hanya akan menguatkan persepsi bahawa suara penduduk diketepikan dalam keputusan yang membabitkan kawasan tempat tinggal mereka.

“Justeru pihak kami telah mencadangkan satu tapak alternatif yang lebih sesuai, walau bagaimanapun kami masih menunggu respon MPAJ,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN