Indeks Pelopor April 2026 meningkat 1.29 peratus - Utusan Malaysia

Indeks Pelopor April 2026 meningkat 1.29 peratus

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penunjuk Ekonomi Malaysia bagi April 2026 menunjukkan prestasi lebih kukuh apabila Indeks Pelopor (IP) mencatatkan peningkatan 1.29 peratus kepada 115.0 mata berbanding 113.5 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan penunjuk yang memberi isyarat awal tentang titik perubahan kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi negara dalam tempoh terdekat itu mencerminkan prospek pertumbuhan yang optimistik di sebalik ketidaktentuan global.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tahun ke tahun itu dipacu oleh prestasi positif beberapa komponen utama, terutamanya Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan yang melonjak 35.5 peratus.

“Bagaimanapun, peningkatan ini sedikit diimbangi oleh penurunan dalam tiga komponen lain, sekali gua memberi kesan kepada momentum pertumbuhan secara keseluruhan.

“Bagi asas bulanan, IP meningkat 1.25 peratus pada April 2026 disokong oleh Bilangan Syarikat Baru Didaftar dan Import Benar Semi Konduktor yang masing-masing menyumbang 0.9 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Uzir, perkembangan bulanan tersebut adalah selaras dengan kepesatan aktiviti ekonomi berasaskan teknologi serta permintaan berterusan bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Melihat kepada arah aliran jangka panjang terlicin, IP dilaporkan kekal berada di bawah paras 100.0 mata.

“Meskipun begitu, aktiviti pelaburan yang berterusan serta permintaan tinggi berkaitan teknologi digital dan pusat data dijangka terus menjadi pemangkin utama ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, Indeks Serentak (IS) yang mengukur keadaan ekonomi semasa turut merekodkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 2.6 peratus kepada 131.6 mata berbanding 128.3 mata pada April tahun lalu.

“Prestasi memberangsangkan itu disumbangkan oleh pertumbuhan dalam kesemua komponen IS, yang diterajui oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian sebanyak 8.3 peratus.

“Dari perspektif bulanan pula, IS meningkat 0.9 peratus berbanding 0.8 peratus pada bulan sebelumnya, dipacu oleh komponen Indeks Pengeluaran Perindustrian (0.6 peratus) dan Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan (0.5 peratus),” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN