KUALA LUMPUR: Penyanyi, Imran Ajmain mengambil pendekatan berdiam diri dan tidak membaca sebarang komen di media sosial selepas persembahannya di Separuh Akhir Muzik-Muzik 40 (SFMM40) baru-baru ini bagi menjaga ketenangan emosi.
Imran atau Ahmad Imranullah Ahmad Husaini, 45, berkata, dia sengaja menjauhkan diri daripada ruangan komen kerana tidak mahu terganggu dengan komen yang berbaur negatif.
“Saya tak baca. Sikit pun saya tak baca. Sebab saya ada sesuatu yang lebih penting untuk saya. Saya punya hati itu sudah sangat besar dan saya terima rezeki sampai ke tahap itu.
“Tapi, ada satu komen yang saya terbaca dan saya tergelak. Dia kata, ‘apa hal Sam Smith nyanyi lagu Seribu Tahun Lagi ini?’ Seolah-olah set dan pilihan warna persembahan saya itu menyerupai gaya Sam Smith,” katanya.
Imran ditemui pada sidang media Spotlight KLCC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.
Menurut Imran, sebagai artis, seseorang perlu memahami bahawa setiap persembahan tidak akan dapat memenuhi cita rasa semua pihak.
“Saya tahu saya punya kebolehan. Saya tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Kalau saya bukan cita rasa awak dan saya punya persembahan itu tidak menepati awak sebagai juri di rumah, ia tidak akan menjejaskan saya punya periuk nasi.
“Orang kata, kata-kata dan perbuatan boleh menyakitkan tubuh, tetapi kata-kata tidak mampu melukakan hati saya. Saya sudah menerima perkara yang lebih berat sebelum ini,” ujarnya.
Tambah Imran, dia turut menjelaskan keadaan dirinya pada hari persembahan yang sedikit terganggu selepas menerima berita ibunya yang berada di Singapura kurang sihat.
“Saya ada satu kecemasan pada hari tersebut sebab mak saya kurang sihat di Singapura. Memang saya terganggu.
“Bila saya tengok balik persembahan itu, saya rasa saya dalam keadaan tergesa-gesa dan sebenarnya mahu segera pulang,” katanya.
Imran bagaimanapun tetap bersyukur dengan perjalanan lagu Seribu Tahun Lagi itu yang dianggap sebagai satu rezeki besar dalam kerjayanya apabila berjaya mara sehingga ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 40.
“Saya anggap itu rezeki yang sangat besar. Saya bersyukur. Itu juga doa daripada ibu dan peminat saya. Ini kali pertama saya menyanyikan karya orang lain dan berjaya sampai ke peringkat semi final selepas perjalanan yang panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Imran turut meluahkan pengalaman ketika menanti keputusan separuh akhir itu yang disifatkannya cukup mendebarkan dan mengakui sedikit kurang selesa dengan situasi pengacaraan pada malam berkenaan.
“Rasa kecewa itu tidak ada, cuma malam itu bila diumumkan 10 teratas, ada sedikit situasi yang buat saya rasa tergantung. Pengacara pada malam itu bergurau tentang jumlah finalis.
“Sekejap kata 10, sekejap 15, sekejap 12, mungkin 20. Bagi saya, dalam pertandingan seperti ini, maklumat perlu jelas kerana yang berada di sana bukan hanya kita seorang. Semua peserta sedang menunggu dengan perasaan yang sama,” katanya. -UTUSAN










