KUALA LUMPUR: Penyanyi, Iman Troye bakal tampil dengan album digital berkonsepkan pop etnik yang memuatkan beberapa lagu baharu berinspirasikan elemen tradisional Melayu dalam masa terdekat.
Iman atau Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 24, berkata, album itu menjadi kesinambungan kepada identiti muzik yang pernah diketengahkannya menerusi lagu Nang yang mendapat sambutan baik daripada peminat.
“Saya akan keluarkan album etnik yang mengandungi beberapa lagu dalam masa terdekat, Insya-Allah.
“Kalau sebelum ini saya membawa lagu Nang dengan karakter Puteri Gunung Banang, untuk karya seterusnya saya tidak lagi menggunakan watak puteri bersejarah dari Tanah Melayu.
“Bagaimanapun, setiap lagu tetap membawa pesanan tersendiri dan pada masa sama menggunakan melodi yang diinspirasikan daripada lagu-lagu tradisional Melayu,” katanya.
Iman ditemui pada sidang media Spotlight KLCC Convention Centre di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.
Penyanyi lagu Teman itu berkata, dia percaya muzik berteraskan budaya tempatan masih mempunyai tempat dalam industri dan mampu diterima generasi muda sekiranya dipersembahkan dengan pendekatan yang lebih segar.
Katanya, usaha menghasilkan karya pop etnik juga menjadi salah satu caranya untuk memperkenalkan semula keindahan muzik tradisional kepada pendengar masa kini.
“Saya rasa muzik tradisional Melayu mempunyai keunikan tersendiri dan masih relevan untuk diketengahkan.
“Sebab itu saya mahu terus meneroka genre ini dan menggabungkannya dengan elemen muzik moden supaya ia lebih dekat dengan pendengar sekarang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Iman turut teruja apabila terpilih sebagai antara enam artis yang bakal menjayakan Spotlight KLCC Convention Centre yang disifatkannya sebagai platform lebih intim untuk mendekati peminat.
“Saya sangat teruja sebab konsep persembahan ini lebih peribadi dan dekat dengan penonton. Bila saya dimaklumkan perlu menyampaikan sekitar 12 hingga 16 lagu, saya terus fikir apa kelainan yang boleh saya bawakan.
“Saya anggap peluang ini sebagai satu tanggungjawab besar kerana dapat berkongsi pentas dengan artis legenda dan juga artis yang sedang aktif dalam industri,” katanya.
Iman berkata, pengalaman mengadakan persembahan pada jam 1 tengah hari juga menjadi sesuatu yang baharu buat dirinya.
“Saya rasa ramai yang tidak pernah tengok persembahan pada jam 1 tengah hari. Jadi, saya teruja untuk mencuba sesuatu yang berbeza dan berharap semua yang hadir nanti akan pulang dengan kenangan manis,” katanya. -UTUSAN










