PETALING JAYA: Pelakon, Ikmal Amry kini sah bergelar bapa kepada tiga cahaya mata selepas isterinya, Najla Samshul selamat melahirkan anak ketiga mereka, pada Jumaat.
Berita gembira tersebut dikongsikan sendiri pelakon From Saga With Love itu menerusi satu hantaran di media sosial memaparkan gambar dia memeluk bayi dalam balutan selimut berwarna putih.
Menurut Ikmal, isterinya selamat bersalin di menerusi kaedah pembedahan sebuah pusat perubatan di ibu kota pada pukul 9.30 pagi, Jumaat.
“Secara rasminya jadi bapa untuk tiga orang anak.
“Saya cuma nak ucapkan terima kasih kepada yang komen dan doakan yang positif. Alhamdulillah,” katanya menerusi hantaran dan video di Instagram Story.
Dalam perkongsian sama, Ikmal sempat berseloroh memberitahu mahu meluangkan masa untuk berehat seketika selepas urusan proses kelahiran tersebut selesai
“Saya baru nak rehat,” katanya.
Meninjau ruangan komen, rata-rata rakan artis dan peminat menghujani hantaran tersebut dengan ucapan tahniah serta doa agar ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat.
“Alhamdulillah, tahniah Am,” tulis pelakon, Hun Haqeem.
“Tahniah untuk anda berdua, cantik tarikh lahirnya iaitu 26/6/2026,” tulis seorang peminat.
“Comelnya anak, semoga sihat-sihat semua, diberkati Allah dunia akhirat,” tulis komen yang lain.
Untuk rekod, Ikmal mendirikan rumah tangga dengan Najla pada 19 Disember 2020.
Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan ini telah dikurniakan dua cahaya mata sebelum ini iaitu Cailie, 5, dan Gibran yang kini berusia tiga tahun. -UTUSAN










