Ibrahim Sani letak jawatan sebagai CEO Yayasan Peneraju - Utusan Malaysia

Ibrahim Sani letak jawatan sebagai CEO Yayasan Peneraju

IBRAHIM Sani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Peneraju (YP), Ibrahim Sani bakal melepaskan jawatannya secara rasmi berkuat kuasa 1 Julai 2026.

Pengumuman yang dibuat oleh agensi di bawah Kementerian Ekonomi itu menandakan selesainya fasa pertama dalam pelan hala tuju organisasi berkenaan menuju 2030.

Menteri Ekonomi merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YP, Akmal Nasrullah Mohd Nasir merakamkan penghargaan tertinggi atas kepimpinan Ibrahim yang telah memacu fasa transformasi penting agensi tersebut.

Beliau berkata, sumbangan Ibrahim amat besar terutamanya dalam memperkukuh peranan YP sebagai institusi pembangunan bakat Bumiputera yang lebih strategik dan berorientasikan nilai.

“Peralihan kepimpinan ini tidak akan menjejaskan kesinambungan operasi YP serta pelaksanaan agenda strategik sedia ada.

“Ini termasuklah sasaran menyokong pembangunan 100,000 bakat Bumiputera menjelang 2030, serta melahirkan 10,000 individu yang aktif dalam penyertaan dan pemilikan ekonomi selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35),” katanya dalam kenyataan.

Sejak menerajui agensi berkenaan pada November 2023, Ibrahim telah merintis peralihan YP daripada tumpuan penciptaan kekayaan kepada penciptaan nilai bertujuan melahirkan pemimpin profesional, perniagaan dan komuniti.

Sebagai sebahagian daripada transformasi itu, YP juga telah meluncurkan platform strategik Talent Bank pada tahun 2024 bagi mengenal pasti dan mengasuh bakat Bumiputera yang berpotensi tinggi.

Sementara itu, Ibrahim menyatakan rasa bangga terhadap kemajuan yang telah dicapai bersama seluruh pasukan YP sepanjang tempoh transformatif berkenaan bagi memastikan agensi itu kekal relevan memenuhi keperluan bakat negara.

“Saya amat yakin bahawa segala usaha kolektif ini telah meletakkan YP pada trajektori yang betul untuk merealisasikan aspirasi yang telah digariskan dalam Pelan Hala Tuju 2030,” katanya.

Akmal Nasrullah turut mendoakan kejayaan berterusan buat Ibrahim dalam lembaran baharu kerjayanya pada masa hadapan.

Pihak YP memberi jaminan bahawa segala operasi dan inisiatif strategik agensi akan berjalan seperti biasa, manakala proses mengenal pasti kepimpinan baharu kini telah bermula dan pengumumannya akan dibuat dalam masa terdekat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN