Hujan: Dari pemuzik Myspace hingga pemegang rekod MBOR - Utusan Malaysia

Hujan: Dari pemuzik Myspace hingga pemegang rekod MBOR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: “Dulu kami cuma budak main muzik di Myspace, sekarang buat konsert di stadium ‘sold out’ 17, 000 tiket,”

Demikian laung vokalis band Hujan, Noh Salleh, ketika meraikan 20 tahun perjalanan band itu di pentas seni tanah air. Tambahnya, kejayaan band yang turut dianggotai AG Coco (gitaris), Azham Ahmad (dram) dan Izzat Uzaini (pemain bass) itu didukung oleh kepercayaan peminat yang digelar ‘Raingers’.

Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam tadi menjadi saksi  Hujan membalas budi peminat dengan beraksi 45 lagu penuh nostalgia, emosi, kegilaan disambut tepukan dan sorakan 17,000 pengunjung sempena Konsert Hujan XX: Hujan 20 Tahun.

“Malam ini kita bukan meraikan kehebatan Hujan sebagai sebuah band, tapi kita meraikan hubungan antara Raingers dan Hujan. Kami ini bukan sesiapa tanpa anda semua.

“20 tahun sudah berlalu, kalau salah seorang daripada kami sudah tidak bernyawa untuk capai 30 tahun, anggaplah ini semua sebagai kenangan yang kita boleh buat bersama,” katanya lagi.

Persembahan malam tadi melayakkan Hujan menjadi band pertama yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pencapaian Largest Audience for a Single Indie Band Live Concert, malam tadi.

Pengiktirafan itu disampaikan wakil badan berkenaan iaitu Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah, Edwin Yeoh dan Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi bersama Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.

“Hari ini anda telah buktikan bahawa Hujan mempunyai peminat terbaik. Selama 20 tahun orang kecam, buat banyak benda untuk jatuhkan kita, tulis macam-macam tapi  hei kita sudah 20 tahun.

“Tak sangka kita membesar bersama-sama. Sesiapa yang pernah jumpa aku di luar dalam keadaan mood tak okay, aku minta maaf. Terimalah aku seadanya sebagai manusia.

“Artis pun sama sahaja kadang tak ada mood. Cuma aku mahu kau tahu, sesiapa yang hargai karya Hujan adalah kawan aku. Kalau aku bergurau kasar, maksudnya aku sudah anggap kau sebahagian daripada aku,” tambah Noh.

Bercerita mengenai 20 tahun jatuh bangun Hujan sebagai sebuah band, Noh berkata, mereka telah melalui banyak perkara termasuklah menyaksikan beberapa orang kawan yang hilang dalam perjuangannya.

“Sepanjang 20 tahun ini, kita jumpa orang baru. Ada yang kekal kerana populariti, ada yang tidak sampai 20 tahun terus ‘bla’.

“Apapun, semoga anda semua tahu aku segan dengan kehadiran Raingers pada malam ini. Terima kasih Raingers,” katanya lagi.

Konsert Hujan XX: Hujan 20 Tahun turut menjadi pentas reunion bagi penyanyi indie yang turut diundang memeriahkan konsert mereka seperti Yuna, Fynn Jamal dan Loque. Malah, penyanyi legenda, Datuk M Nasir juga membuat kejutan menyanyikan lagu Kembara bersama Hujan di pentas.

Momen ikonik itu memberi kesan mendalam kepada peminat Hujan seolah-olah simbol orang lama dalam industri mengiktiraf kerja keras dilakukan band itu yang berjaya meraih kejayaan sebesar itu walaupun bergerak sendiri.

Untuk rekod, Hujan mecuri perhatian khalayak sejak kemunculan mereka pada 2005. Nama mereka semakin besar menerusi sembilan album studio yang mengiringi perjalanan dua dekad sebagai sebuah band indie. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN