PETALING JAYA: Hibiscus Petroleum Berhad (Hibiscus Petroleum) menerusi anak syarikatnya, Hibiscus EP (Brunei) B.V. (HEB) memulakan operasi Projek Pemampat Tekanan Rendah (LPC) pada 4 Jun lalu di Loji Pemprosesan Darat di Lumut, Brunei Darussalam.
Pelancaran itu menandakan satu pencapaian penting bagi syarikat dalam mengekalkan pengeluaran daripada medan Blok B Maharajalela Jamalulalam.
Projek LPC itu turut mencatat beberapa pencapaian penting dalam industri, termasuk menjadi pemampat Integrated Compressor Line (ICL) tepu air pertama di dunia serta pemampat ICL pertama yang beroperasi di Asia.
Apabila diintegrasikan dengan ladang solar berkapasiti 12 megawatt (MW) yang sedang dibangunkan, projek itu juga dijangka menjadi pemampat ICL pertama di dunia yang dikuasakan oleh tenaga solar.
Selain itu, projek berkenaan menyumbang dua juta jam kerja tanpa sebarang insiden kecederaan hilang masa bekerja (LTI), sekali gus menyokong rekod HEB yang bebas LTI selama 27 tahun.
Pengarah Urusan Pihak Berkuasa Petroleum Brunei Darussalam, Awang Shamir Salahudin berkata, pencapaian ini adalah hasil gabungan usaha dan komitmen semua pihak yang terlibat, termasuk kontraktor dan agensi sokongan.
“Pencapaian seperti ini penting kepada Brunei Darussalam kerana ia membuktikan apa yang boleh dicapai apabila kita terus meneroka sempadan baharu, memaksimumkan nilai sumber sedia ada dan mewujudkan nilai jangka panjang daripada aset minyak dan gas negara.
“Sebagai pemegang amanah sumber petroleum negara, kami kekal komited untuk menyokong serta mencabar industri huluan bagi membuka nilai yang lebih besar dan memacu inovasi berterusan di seluruh lembangan petroleum negara.
“Kami berharap dapat melihat lebih banyak peluang direalisasikan melalui kerjasama kukuh dan kecemerlangan teknikal,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum Berhad, Datuk Dr. Kenneth Pereira, berkata, kejayaan pelaksanaan projek LPC membuktikan keupayaan Hibiscus Petroleum dalam menjana nilai yang lebih tinggi daripada sumber sedia ada.
“Selain memperkukuh kemampanan pengeluaran, projek ini meningkatkan kebolehpercayaan aset, menyokong operasi berpelepasan karbon lebih rendah melalui penyelesaian inovatif serta memajukan pembangunan tenaga yang bertanggungjawab.
“Pencapaian ini mencerminkan dedikasi, ketahanan dan semangat kerjasama pasukan yang berjaya mengatasi pelbagai cabaran kompleks bagi memastikan projek disiapkan dengan selamat dan berjaya,” ujarnya.
Tambahnya, ia juga mengukuhkan lagi kerjasama jangka panjang dengan Kerajaan Brunei Darussalam dalam menyokong sektor tenaga negara serta aspirasi Wawasan 2035.
“Sejak memulakan operasi, projek ini telah mencatat peningkatan pengeluaran yang menggalakkan dan dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan serta operasi kami bagi suku keempat tahun kewangan 2026,” katanya. –UTUSAN










