Harga purata rumah terpakai di Kuala Lumpur lepasi paras RM1 juta - Utusan Malaysia

Harga purata rumah terpakai di Kuala Lumpur lepasi paras RM1 juta

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga purata rumah subsale atau pasaran sekunder di Kuala Lumpur secara rasminya melepasi paras RM1 juta pada suku pertama 2026.

Trend peningkatan di ibu kota itu turut memacu pertumbuhan pasaran sekunder nasional yang mencatatkan lonjakan harga purata sebanyak 4.8 peratus tahun ke tahun kepada RM545,059 bagi tempoh yang sama.

Menurut Laporan Pasaran Subsale Residen Suku Pertama 2026 oleh IQI, laporan berasaskan data lebih 230,000 transaksi sejak 2018 itu dikeluarkan oleh rangkaian ejen hartanah global Juwai IQI yang beribu pejabat di sini.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IQI, Kashif Ansari berkata, kenaikan mendadak di Kuala Lumpur menunjukkan pembeli terus melihat nilai jangka panjang di kawasan kejiranan matang yang mempunyai infrastruktur dan ketersambungan yang baik.

“Data subsale kami menunjukkan harga meningkat hampir tiga kali ganda lebih pantas berbanding Indeks Harga Rumah NAPIC yang menjejaki semua jenis hartanah kediaman termasuk subsale, yang mana indeks itu hanya meningkat 1.7 peratus berdasarkan data awal. 

“Kenaikan hampir 5 peratus bagi harga purata rumah subsale di peringkat nasional dalam tempoh setahun lalu juga jelas mencerminkan keyakinan pembeli yang tinggi terhadap pasaran,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Kashif berkata, sejak suku pertama 2024, harga rumah sekunder nasional sebahagian besarnya berada dalam jajaran antara RM500,000 dan RM560,000 dengan turun naik normal antara suku tahunan.

“Pasaran sempat menyaksikan penurunan harga sehingga 5.5 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga, sebelum arah aliran itu berbalik dan melonjak tinggi pada penghujung tahun 2025,” katanya. 

Laporan itu turut mendedahkan bahawa segmen rumah mampu milik terus mendominasi aktiviti subsale dengan hampir satu perempat daripada keseluruhan transaksi melibatkan rumah berharga RM250,000 ke bawah.

Selain itu, kira-kira tujuh daripada sepuluh transaksi dicatatkan oleh kediaman berharga RM500,000 ke bawah sekali gus membuktikan aktiviti pasaran didorong oleh pembeli rumah pertama dan pasaran pertengahan.

Bagi pasaran premium pula, rumah berharga melebihi RM1 juta merangkumi lapan peratus daripada keseluruhan transaksi, manakala pembeli bagi kediaman berharga antara RM750,000 hingga RM1 juta hanya menyumbang sebanyak enam peratus.

Mengulas mengenai prestasi mengikut negeri, Kashif berkata, pembeli di Kuala Lumpur membayar 15 peratus lebih tinggi pada suku pertama 2026 berbanding setahun lalu, menjadikan harga purata rumah subsale di ibu kota kini mencecah RM1,024,793.

“Melaka turut merekodkan pertumbuhan dua angka yang kukuh dengan kenaikan harga purata subsale sebanyak 10 peratus kepada RM358,964, mencerminkan minat berterusan pembeli di negeri bersejarah itu.

“Sementara itu, Selangor yang merupakan pasaran subsale terbesar negara mengikut jumlah volum transaksi kekal stabil dengan harga purata tidak berubah secara ketara pada paras RM559,935,” katanya. 

Pulau Pinang dan Negeri Sembilan masing-masing menyaksikan penurunan sederhana sebanyak dua peratus dan lima peratus, selaras dengan peralihan pasaran yang lebih luas ke arah titik harga peringkat permulaan.

Tambahnya, Negeri Sembilan kini telah menggantikan Melaka sebagai pasaran paling mudah diakses antara lima negeri berkenaan dengan harga purata subsale sebanyak RM340,207.

“Bagi pembeli kali pertama yang tidak mampu memiliki kediaman di Lembah Klang, faktor ini menjadikan Negeri Sembilan sebuah lokasi yang menarik untuk dipertimbangkan sama ada bagi rumah pertama atau hartanah pelaburan.

“Pasaran hartanah subsale Malaysia terus mempamerkan momentum yang stabil dan sihat untuk baki tahun 2026 disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh, pembangunan infrastruktur dan minat berterusan daripada pembeli,” tambahnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN