PETALING JAYA: Harga minyak mentah jatuh ke paras sebelum krisis dan trend tersebut dijangka berterusan dalam tempoh terdekat susulan langkah pengurusan risiko pasaran yang proaktif serta pemulihan pantas rantaian bekalan dari Asia Barat.
Kontrak niaga hadapan minyak mentah Brent kini menghampiri paras AS$72 setong, manakala penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) berada di bawah paras AS$70 setong, mencatatkan paras terendah yang kali terakhir direkodkan sebelum tercetusnya perang Iran.
Pada pukul 5 petang semalam, minyak mentah Brent ditutup pada AS$72.41 (RM298.11), susut 1.82 peratus berbanding AS$75.70 (RM313.10) pada Rabu, manakala minyak mentah WTI ditutup pada AS$69.25 (RM285.10) berbanding AS$71.90 (RM297.39).
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, apabila harga minyak dunia mula pecah dan berada di bawah paras AS$70 setong, ia memberikan kesan serampang dua mata kepada ekonomi Malaysia.
“Di satu sudut, ia adalah berita baik kerana tekanan inflasi global akan mereda, selain membantu menstabilkan kos input industri serta logistik, sekali gus mengurangkan beban subsidi bahan api domestik yang perlu ditanggung kerajaan ketika ini.
“Namun di sudut lain, sebagai negara pengeluar minyak, kejatuhan harga komoditi ini berisiko mengurangkan hasil pendapatan negara daripada sektor petroleum sekiranya situasi tersebut berlarutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut mengenai hala tuju pasaran, Mohamad Idham berkata, harga komoditi berkenaan masih mempunyai ruang yang luas untuk menyusut ke bawah paras semasa.
“Melihat kepada dinamik pasaran, tidak mustahil untuk harga minyak mentah dunia terus turun dan menguji paras pertengahan AS$60 setong menjelang suku ketiga tahun ini.
“Perkembangan ini amat bergantung kepada seberapa cepat Selat Hormuz dapat dibuka semula sepenuhnya, serta sama ada Iran akan meningkatkan jualan minyak mereka pasca kelonggaran sementara sekatan oleh pihak AS.
“Sekiranya bekalan fizikal kembali melimpah di pasaran manakala permintaan global pula kekal sederhana, tekanan ke bawah terhadap harga minyak akan menjadi lebih agresif,” katanya.
Menurutnya, persetujuan awal yang dicapai untuk menamatkan perang antara AS dan Israel dengan Iran pada akhir Februari lalu membolehkan trafik perkapalan melalui Selat Hormuz mula disambung semula secara berperingkat.
“Aliran komoditi menerusi selat berkenaan dilaporkan sudah menghampiri kapasiti normal iaitu sekitar 20 juta tong sehari dalam tempoh 24 jam lalu. Keyakinan pedagang terhadap kecukupan bekalan juga kekal utuh berikutan jangkaan Iran akan meningkatkan jualan minyak susulan kelonggaran sementara sekatan oleh pihak AS.
“Ditambah pula dengan langkah Oman membuka laluan sementara bagi memudahkan kapal tangki minyak keluar dari Selat Hormuz dengan penyelarasan Pertubuhan Maritim Antarabangsa, pasaran dijangka kembali normal dengan pantas,” katanya.
Tambahnya, unjuran pasaran oleh penganalisis Macquarie turut menjangkakan harga purata Brent dan WTI masing-masing boleh mencecah paras lebih rendah iaitu AS$67 dan AS$62 setong pada suku ketiga tahun ini.
“Meskipun Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS melaporkan jumlah stok minyak mentah negara itu menyusut ke paras terendah sejak 1984 minggu lalu akibat permintaan penapisan yang kukuh, pasaran dilihat tidak terlalu memberi reaksi besar.
“Ini kerana tumpuan penuh pedagang antarabangsa ketika ini masih terarah kepada perkembangan fasa rundingan kestabilan dan pengurusan masa depan Selat Hormuz bersama Iran, Iraq dan negara-negara Teluk,” tambahnya. –UTUSAN










