PETALING JAYA: Harga minyak mentah Brent berpotensi susut kepada sekitar AS$60 (RM248.49) hingga AS$70 (RM289.91) setong didorong senario pemulihan bekalan yang lebih pantas serta permintaan global yang sederhana.
Pensyarah Kanan i-CATS University College, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, bagaimanapun, jika konflik kembali memuncak, harga minyak boleh melonjak semula melepasi AS$90 (RM372.74) hingga AS$110 (RM455.57) setong.
“Malah, beberapa unjuran pasaran tidak menolak kemungkinan harga Brent merosot ke paras pertengahan AS$50 (RM207.07) setong sekiranya pertumbuhan ekonomi global terus perlahan dan bekalan kembali normal sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, dalam pada itu, harga minyak mentah Brent berpotensi kekal dalam lingkungan AS$70 (RM289.91) hingga AS$75 (RM310.61) setong sekiranya laluan Selat Hormuz kekal stabil dan aktiviti eksport minyak global kembali pulih
Menurutnya, dalam tempoh dua hingga enam minggu akan datang, tekanan ke bawah terhadap harga minyak masih dijangka berterusan.
“Bagi tempoh tiga hingga enam bulan pula, hala tuju pasaran banyak dipengaruhi permintaan dari China, dasar pengeluaran OPEC+ serta kadar pemulihan eksport negara-negara Teluk,” katanya.
Menurut beliau, penurunan harga minyak mentah global ketika ini lebih mencerminkan penyusutan premium risiko geopolitik berbanding peningkatan bekalan fizikal minyak di pasaran.
“Situasi ini berlaku apabila semakin banyak kapal tangki kembali menggunakan laluan strategik Selat Hormuz, sekali gus memberi isyarat bahawa risiko gangguan bekalan global tidak setinggi yang dibimbangi sebelum ini.
“Kenaikan harga sebelum ini turut dipacu kebimbangan pelabur terhadap gangguan berpanjangan di Selat Hormuz yang merupakan antara laluan perdagangan minyak paling penting di dunia.
“Namun, peningkatan semula pergerakan kapal tangki di kawasan itu telah meredakan kebimbangan tersebut, sekali gus menekan harga minyak,” jelasnya.
Abu Sofian berkata, cadangan Iran untuk mengenakan caj transit ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz berpotensi meningkatkan kos perdagangan tenaga global tanpa menjejaskan bekalan secara langsung.
“Langkah itu dijangka meningkatkan kos operasi kapal, premium insurans marin serta kos penghantaran tenaga, sekali gus boleh mendorong kenaikan harga minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) beberapa dolar setiap tong.
“Bagi Malaysia, keadaan itu berpotensi menambah hasil berkaitan petroleum, namun pada masa sama boleh mewujudkan tekanan inflasi serta meningkatkan beban fiskal berkaitan subsidi.
“Dari sudut ekonomi, caj transit ini lebih menyerupai cukai ke atas perdagangan global berbanding gangguan sebenar terhadap bekalan minyak dunia,” katanya.
Mengulas pasaran tempatan, beliau berkata dalam tempoh satu hingga empat minggu akan datang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak mendatar dengan kecenderungan sedikit positif dalam julat 1,670 hingga 1,740 mata.
“Bagi tempoh tiga hingga enam bulan, FBM KLCI berpotensi menguji paras 1,750 hingga 1,800 mata sekiranya ketegangan geopolitik di Asia Barat terus reda, dasar monetari Amerika Syarikat (AS) lebih longgar dan ringgit kembali stabil,” katanya. –UTUSAN










