Glide perkukuh jenama menerusi kerjasama komuniti ViosNation

Glide perkukuh jenama menerusi kerjasama komuniti ViosNation

Muhazli Muhamad (enam dari kiri) bersama Khairul Abd Rahman (tujuh dari kiri) bergambar bersama komuniti ViosNation pada Program Hari Ke-7 ViosNation x Glide Technology
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Glide Technology Sdn. Bhd. (GTSB) memperkukuh kedudukan dalam pasaran pelincir tempatan menerusi kerjasama bersama komuniti ViosNation Malaysia sempena program Vios Gathering 2026: The Finale.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu akan berlangsung di kawasan karnival Stadium Shah Alam pada 8 Ogos ini.

Presiden dan Pengasas Glide Group, Datuk Muhazli Muhamad berkata, kerjasama bersama komuniti automotif berkenaan merupakan antara pendekatan syarikat dalam memperluas capaian jenama serta mengukuhkan hubungan terus dengan pengguna akhir.

“Kerjasama strategik bersama komuniti pemilik kenderaan, khususnya Vios Nation ini menjadi sebahagian daripada usaha kami dalam memperluas capaian pasaran dan meningkatkan kesedaran terhadap produk buatan Malaysia.

“Pendekatan seperti ini dilihat lebih berkesan dalam mendekati pengguna akhir, selain memberi ruang kepada syarikat untuk memahami keperluan sebenar pemilik kenderaan, terutama dalam segmen minyak enjin sintetik penuh yang menjadi fokus utama jenama berkenaan.

“Kami juga menjadi penaja emas bagi cabutan hadiah acara ini dan ia bukan sekadar strategi pemasaran, sebaliknya sebahagian daripada usaha syarikat untuk memperkukuh industri produk tempatan agar mampu bersaing dengan jenama antarabangsa dalam segmen pelincir automotif,” katanya kepada pemberita pada Program Hari Ke-7 ViosNation x Glide Technology di sini.

Program pra-acara itu menghimpunkan lebih 60 pemilik Toyota Vios dan Yaris dari sekitar Lembah Klang.

Vios Gathering 2026: The Finale dijangka menghimpunkan kira-kira 4,000 kenderaan dan 6,500 pengunjung, meningkat berbanding 3,600 kenderaan pada edisi 2024 serta 1,700 kenderaan ketika penganjuran sulung pada 2023.

Dalam pada itu, Glide turut menawarkan jualan minyak enjin penuh sintetik pada harga diskaun lebih 50 peratus sepanjang acara berkenaan sebagai usaha menarik penyertaan komuniti serta memperluas akses pengguna kepada produk berkualiti pada harga lebih berpatutan.

Muhazli berkata, menerusi kerjasama itu, Glide bukan sahaja memperkenalkan jenama kepada komuniti automotif, malah membina asas pertumbuhan jangka panjang melalui hubungan terus dengan pengguna.

“Glide turut merancang untuk meneroka pembangunan produk edisi khas bersama ViosNation pada masa akan datang yang disasarkan memenuhi keperluan spesifik pengguna Toyota Vios serta mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam pasaran tempatan.

“Kerjasama tersebut dijangka membuka ruang kepada inovasi produk serta memperluas potensi perniagaan Glide dalam segmen selepas jualan automotif negara,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden ViosNation, Khairul Abd Rahman berkata, pihaknya pada awalnya tidak mengetahui Glide merupakan produk tempatan sebelum mula menjalinkan kerjasama dengan syarikat berkenaan.

Menurut beliau, selepas mengenali Glide dengan lebih dekat, pihaknya melihat potensi syarikat itu sebagai jenama pelincir berkualiti yang wajar disokong serta diperkukuh melalui platform komuniti automotif.

“Dalam komuniti ViosNation sendiri terdapat beberapa ahli yang memiliki bengkel, justeru kerjasama ini juga dilihat mampu membuka peluang perniagaan kepada kedua-dua pihak pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas penganjuran Vios Gathering 2026 yang dijadualkan pada 8 Ogos ini, beliau berkata acara itu merupakan edisi ketiga selepas penganjuran pada 2023 dan 2024, manakala tiada penganjuran dibuat pada 2025.

“Acara itu akan menjadi platform terbaik kepada syarikat dan penaja untuk memperkenalkan produk serta melaksanakan aktiviti pemasaran, memandangkan Toyota Vios merupakan antara model kenderaan yang mempunyai jumlah pengguna yang besar di negara ini.

“Pelbagai aktiviti juga telah dirangka sepanjang hari penganjuran termasuk cabutan bertuah, aktiviti keluarga, karnival makanan, pameran serta pertunjukan Toyota Vios dan jualan produk serta promosi daripada penaja.

“Program akan berlangsung dari pukul 10.30 pagi hingga 9 malam dengan pelbagai pengisian untuk pengunjung dan peserta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN