Generasi muda kunci kelangsungan sektor koperasi

Generasi muda kunci kelangsungan sektor koperasi

AHMAD Norihan Jalal menyerahkan sebuah television kepada seorang pekerja Media Mulia Sdn. Bhd. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Golongan belia perlu melibatkan diri secara aktif dalam gerakan koperasi bagi memastikan sektor itu terus berkembang dan kekal relevan sebagai pemacu ekonomi masyarakat.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B), Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, penyertaan belia penting bagi melahirkan pelapis yang mampu meneruskan kesinambungan gerakan koperasi negara.

Menurutnya, koperasi bukan sekadar platform perniagaan, malah menjadi medium membentuk kepimpinan, keusahawanan serta pembangunan sahsiah dalam kalangan generasi muda.

“Penglibatan golongan itu juga mampu membawa idea baharu dan pendekatan lebih segar sejajar perubahan teknologi serta keperluan ekonomi semasa,” katanya dalam sidang akhbar majlis pra peluncuran Hari Koperasi Negara 2026 (HKN’26) di Dewan Perdana SKM, hari ini.

Ahmad Norihan berkata, SKM turut mengadakan perbincangan dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi menggerakkan lebih ramai belia menyertai program koperasi.

Katanya, Presiden MBM, Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid telah memberikan jaminan bahawa pihaknya akan membantu menggerakkan golongan belia untuk hadir dan bersama-sama menjayakan program berkaitan koperasi.

“Kerjasama erat antara SKM, MBM dan Majlis Belia negeri diyakini mampu meningkatkan kesedaran serta memperkukuh penyertaan belia dalam gerakan koperasi negara.

“Selain itu, SKM turut mengadakan pelbagai inisiatif termasuk menjemput pelajar universiti, sekolah dan golongan belia lain untuk menyertai program dianjurkan.

“Usaha tersebut bertujuan memberi pendedahan secara langsung mengenai peranan koperasi dalam memperkukuh ekonomi komuniti dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN