Felda jalin kerjasama dengan Encorp bina 450 rumah kakitangan - Utusan Malaysia

Felda jalin kerjasama dengan Encorp bina 450 rumah kakitangan

AHMAD Shabery Cheek (tengah) bersama Suzana Idayu Wati ( kiri) dan Ahmad Harzimi Mohd Taib (kanan) ketika sesi bergambar pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Felda dan Encorp Berhad di Menara Felda Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Encorp Berhad bagi melaksanakan reka bentuk dan pembinaan projek perumahan kakitangan Felda yang membabitkan keseluruhan sekitar 450 buah unit rumah baharu.

Pengerusi Felda, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, pelaksanaan projek ini menjadi pemangkin utama bagi meningkatkan semula moral dan semangat kerja kakitangan perancangan Felda di lapangan.

Menurut beliau, langkah penggantian ini amat kritikal memandangkan sebahagian besar kakitangan ketika ini masih mendiami kuarters lama yang dibina sekitar tahun 1960-an dan 1970-an, yang mana ada antaranya struktur rumah kayu dan sudah tidak lagi kondusif.

“Sekarang sudah tahun 2026, bermakna perumahan itu sudah berusia lebih 50 tahun. Malah jika kita lihat, kebanyakan rumah peneroka kini sudah jauh lebih baik, cantik dan moden berbanding rumah kakitangan termasuk pengurus rancangan Felda sendiri.

“Situasi ini secara tidak langsung menjejaskan moral mereka. Oleh itu, projek ini mesti dilihat sebagai satu lonjakan baharu untuk kakitangan kita agar dapat memberi khidmat terbaik kepada para peneroka. Pemangkin perumahan ini penting kerana mereka merupakan ejen penting pembangunan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan di Menara Felda, di sini hari ini.

Mengulas mengenai fasa pelaksanaan, Ahmad Shabery berkata, keseluruhan projek menyasarkan 450 unit, namun fasa pertama akan dimulakan dengan pembinaan 189 unit rumah terlebih dahulu menggunakan peruntukan bajet daripada Felda.

“Kita bermula dengan 189 unit sebagai fasa ujian. Walaupun Encorp Berhad merupakan anak syarikat kami, tiada kompromi dari segi standard dan keupayaan penyerahan. Isyarat kami jelas, jika fasa pertama ini diserahkan dengan baik, kita akan tambah lagi untuk fasa seterusnya.

“Dari segi kos unit, jika melihat kepada reka bentuk draf, ia dianggarkan menelan belanja sekitar RM300,000 hingga RM350,000 bagi setiap satu unit rumah,” katanya. 

Tambahnya, sebarang peningkatan kos bahan mentah atau logistik ekoran situasi global semasa tidak akan menyekat usaha Felda dalam membela kebajikan warganya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Encorp Berhad, Ahmad Harzimi Mohd Taib berkata, Encorp akan memberikan komitmen penuh syarikat untuk menyediakan ruang kediaman moden dan terancang berdasarkan rekod prestasi cemerlang syarikat dalam mengendalikan projek hartanah berkualiti sebelum ini.

“Kerjasama ini merupakan kesinambungan daripada projek berkualiti menerusi anak syarikat kami, Encorp Development Sdn. Bhd. yang sebelum ini berjaya menyiapkan Fasa 1 Lamanda Chuping pada 2024, membabitkan 224 unit kediaman kos rendah dan sederhana untuk warga peneroka serta generasi Felda,” katanya.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Mohd Osman dan Ahmad Harzimi. 

Dalam pada itu, Pengerusi Encorp Berhad, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff berkata, fasa pertama projek pembinaan yang melibatkan 189 unit rumah tersebut dijangka mengambil masa selama 24 bulan untuk disiapkan sepenuhnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN